DC Healthcare sasar kumpul RM49.81 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

DC Healthcare sasar kumpul RM49.81 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - DC Healthcare Holdings, pakar dalam perkhidmatan perubatan estetik yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menetapkan tawaran awam permualan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham bagi mengumpul RM49.81 juta untuk modal kerja serta pembayaran balik pinjaman.

 

Pada harga 25 sen sesaham, kumpulan itu dinilai pada 26.04 kali pendapatan harga berdasarkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM9.56 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Modal sahamnya akan diperbesarkan kepada 996.3 juta saham di bawah pelaksanaan pengapungannya dan dijangka mempunyai permodalan pasaran RM249.08 juta selepas penyenaraian, yang dijadualkan pada 17 Julai ini.

 

DC Healthcare menyediakan perkhidmatan estetik, perkhidmatan perubatan am, dan penjualan produk penjagaan kulit, dan mempunyai kehadiran pasaran di Negeri Sembilan, Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.

 

Pada pelancaran prospektusnya hari ini, kumpulan itu berkata, bahawa RM17.01 juta atau 34.15% daripada jumlah yang diperoleh akan diperuntukkan untuk modal kerja termasuk gaji kakitangan, bekalan perubatan dan bahan habis pakai dan RM6.24 juta (12.52%) untuk membayar balik pinjaman.

 

Kumpulan itu memperuntukkan RM9.44 juta (18.95%) untuk menubuhkan klinik perubatan estetik, dan RM13.12 juta (26.35%) untuk membeli mesin dan peralatan perubatan manakala baki RM4 juta (8.03%) adalah untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr. Chong Tze Sheng berkata, pelan pengembangan kumpulan adalah berdasarkan permintaan untuk perkhidmatan perubatan estetik kerana orang ramai semakin sedar tentang kesihatan kulit terutama dalam jangka masa panjang. 

 

"Diunjurkan bahawa perkhidmatan perubatan estetik dan perkhidmatan perubatan am yang berkaitan dengan penyakit kulit akan meningkat disebabkan oleh orang ramai yang mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk perbelanjaan mengikut budi bicara dan menjadi lebih berpendidikan tentang keadaan kulit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Timbalan Ketua Kewangan Korporat, M&A Securities Sdn Bhd, Danny Wong berkata, pasaran Malaysia untuk perkhidmatan perubatan estetik akan terus berkembang disokong oleh permintaan apabila pendapatan meningkat dan populasi meningkat. 

 

Katanya, ia akan dibantu oleh peningkatan kepenggunaan dan pengaruh media sosial yang semakin meningkat yang menghapuskan stigma prosedur perubatan estetik. 

 

"Menerusi rawatan sedemikian yang semakin meningkat, pasaran perkhidmatan perubatan estetik domestik diunjurkan mempunyai kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 18.8% dari 2021 hingga 2027 dengan menilai jumlah pasaran pada RM1.03 bilion," katanya. - DagangNews.com