Debat tidak bawa hasil, tetapi kerajaan perlu bekerja jaga rakyat - tegas PM | DagangNews Skip to main content

Debat tidak bawa hasil, tetapi kerajaan perlu bekerja jaga rakyat - tegas PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Jelajah AKM pagi tadi di Kuantan, Pahang.

KUANTAN 29 Okt - "Adalah lebih baik saya menjaga kepentingan rakyat berbanding berdebat, yang tidak membawa sebarang hasil selepas perdebatan itu selesai," demikian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Beliau merujuk kepada sesi debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan sebelum ini Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan antara Anwar dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berlangsung pada Mei lalu.

 

Menurutnya, debat tidak membawa sebarang hasil, sebaliknya kerajaan akan memastikan apa yang dirancang akan diumumkan dan dilaksanakan.

 

"Setakat habis debat, habislah. Orang ini bawa penyokong, orang itu bawa penyokong dan penyokong bersorak-sorak dalam dewan. Itu sahaja.

 

“Kita dalam kerajaan lebih daripada berdebat. Kita pastikan apa yang dirancang (dan) diumumkan dilaksanakan. Kalau timbul masalah (seperti) kos sara hidup yang meningkat, kita kena tengok keadaan ini untuk mengurangkan beban rakyat. 

 

“Tugas kerajaan itu banyak dan tugas kita bukan setakat bercakap, tetapi kita juga melaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

 

Terdahulu, pada sebelah pagi, Perdana Menteri merasmikan Jelajah AKM di Kuantan, Pahang yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kanan Pertahanan selaku Menteri Peneraju Aspirasi Keluarga Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

 

Jelajah AKM di Pahang merupakan destinasi terakhir sebelum PRU15 yang akan berlangsung pada 19 November ini. - DagangNews.com