Deleum diramal terima impak minimum daripada kontrak penyelenggaraan Petronas | DagangNews Skip to main content

Deleum diramal terima impak minimum daripada kontrak penyelenggaraan Petronas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - AmInvestment Bank Bhd menjangkakan Deleum Bhd menerima impak minimum daripada kontrak penyelenggaran, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) bernilai RM105 juta daripada Petronas.

 

Katanya, segmen minyak dan gas (O&G) kumpulan itu telah menghadapi kerugian operasi sejak suku kedua FY23, disebabkan pengurangan buku pesanan berikutan penggantungan lesen penyelesaian anti-karatnya dengan Petronas.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan kos operasi kumpulan termasuk perbelanjaan permulaan, harga bahan yang tinggi dan kekurangan tenaga kerja.

 

"Walaupun tempoh kontrak agak singkat, spekulasi industri mencadangkan kitaran pembaharuan untuk skop MCM Petronas menjelang suku keempat FY24, dengan beberapa kontraktor dijangka menamatkan kontrak selepas diberi lanjutan pada 2023," katanya alam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Deleum peroleh kontrak penyelenggaraan bernilai RM105 juta daripada Petronas Carigali

 

AmInvestment berkata, buku pesanan semasa Deleum dianggarkan berjumlah RM650 juta hingga RM700 juta, dengan keterlihatan hasil sehingga satu tahun, manakala buku tendernya kekal kukuh pada RM1.2 bilion hingga RM1.3 bilion.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan positif terhadap kumpulan itu dan mengiktirafnya sebagai antara kontraktor pilihan dalam bidang kuasa dan jentera. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.70 sesaham," katanya. - DagangNews.com