Deleum sasar pertumbuhan mampan menerusi kerjasama strategik, kecemerlangan operasi | DagangNews Skip to main content

Deleum sasar pertumbuhan mampan menerusi kerjasama strategik, kecemerlangan operasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G), Deleum Bhd menyasakan pertumbuhan mampan melalui kerjasama strategik, inovasi teknologi dan kecemerlangan operasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumulan, Rao Abdullah berkata, kumpulan itu sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi memacu pertumbuhan hasil termasuk mencari prospektif penggabungan dan pengambilalihan (M&A) di peringkat antarabangsa dan potensi kerjasama domestik dengan syarikat perkhidmatan minyak dan gas utama.

 

"Melalui perkongsian strategik, penyerapan teknologi, pertumbuhan melalui M&A dan secara organik, kami meletakkan Deleum untuk kejayaan jangka panjang. 

 

"Strategi pertumbuhan kami dirancang dengan teliti, untuk mengatasi pendapatan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan elepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu, hari ini. 

 

Bagi tahun kewangan 2023 (FY23), kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM45.7 juta, meningkat 8.6% daripada RM42.1 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 13.5% kepada RM792 juta daripada RM698 juta sebelumnya.

 

rao
Rao Abdullah

 

Pada 31 Mac 2024, jumlah buku pesanan merentas semua segmen berjumlah RM594.7 juta, dengan sebahagian besar dikaitkan dengan segmen perkhidmatan janakuasa dan jentera dan minyak.

 

Dengan kerja yang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 bulan akan datang, kumpulan itu menjangkakan pemulihan dalam segmen perkhidmatan medan minyaknya pada FY24, yang membawa kepada peningkatan pendapatan bagi tahun tersebut

 

Awal tahun ini, kumpulan itu mengukuhkan keupayaan dan kemampanan teknologi dalam segmen perkhidmatan medan minyak melalui perjanjian berasingan dengan LatConnect 60 Ltd dan Paradigm Technology Services B.V.

 

Kumpulan itu juga telah mencadangkan untuk memperoleh 7.7% pegangan ekuiti minoriti dalam LatConnect 60 dalam dua peringkat untuk AU$1.53 juta.

 

Mereka juga sedang menjalankan usaha wajar untuk berpotensi memperoleh 70% kepentingan dalam PT OSA Industries Indonesia, bernilai AS$7 juta.

 

"Langkah itu bertujuan untuk meningkatkan dan mengukuhkan segmen kuasa dan jenteranya di peringkat serantau. Kumpulan itu juga komited untuk mengutamakan peningkatan kecekapan operasi, melibatkan kemajuan dalaman.

 

"Deleum sedang menaik taraf sistem sumber perusahaannya untuk memastikan operasi perniagaan yang cekap dan pengurusan proses yang dipertingkatkan," kata kumpulan itu.- DagangNews.com