Demi amanah, Tabung Haji berhati-hati buat pelaburan | DagangNews Skip to main content

Demi amanah, Tabung Haji berhati-hati buat pelaburan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - Lembaga Tabung Haji akan terus bekerja keras mencari peluang pelaburan untuk mencapai pulangan terbaik walaupun berdepan keadaan pasaran pelaburan yang mencabar.

 

Perkara ini ditegaskan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff setelah Tabung Haji merekodkan prestasi yang lebih baik pada 2020 dengan mengagihkan keuntungan 3.1%. 

 

Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff
Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff

 

 

Beliau berkata, Tabung Haji menjangkakan operasi persekitaran yang lebih mencabar pada tahun ini di mana pelabur terus mencari pulangan yang tinggi walaupun ekonomi masih lemah. 

 

Namun langkah pelbagai negara termasuk Malaysia, untuk memastikan rakyat mendapat vaksin COVID-19 dijangka dapat membantu meneruskan usaha pemulihan ekonomi.

 

Malah, menurutnya, Tabung Haji juga akan meneruskan usahanya untuk mengimbangi semula portfolio pelaburan khususnya dalam menggantikan aset yang tidak berdaya saing dengan aset yang boleh memberi pulangan lebih baik. 

 

"Ini termasuklah memberi penekanan yang lebih kepada pelaburan luar negara dan pelaburan berlandaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)yang terus menjadi perhatian banyak pelabur hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Kedudukan kewangan Tabung Haji kekal stabil pada 31 Disember 2020 dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM3.68 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset keseluruhan sebanyak RM81.85 bilion dan jumlah liabiliti RM78.17 bilion.

 

Tabung Haji turut memperuntukkan pembayaran zakat beranggaran RM106 juta bagi 2020 berbanding RM86 juta pada  2019, justeru, para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan.

 

Nik Mohd. Hasyudeen berkata, keuntungan yang dicapai oleh Tabung Haji didorong oleh prestasi dan kedudukan
kewangan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya, selain langkah pengurusan kos yang berhemah. 

 

Agihan keuntungan bagi 2020 ini juga adalah lebih kompetitif jika dibandingkan dengan pulangan daripada akaun simpanan tetap di perbankan Islam.

 

Pada 2020, ia melibatkan agihan sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada 2019.

 

TH telah merekodkan prestasi kewangan belum diaudit pada 2020 yang lebih baik berbanding 2019, dengan keuntungan bersih selepas zakat sebanyak hampir RM2.23 bilion iaitu peningkatan sebanyak 22% atau RM397 juta berbanding tahun lalu.

 

Menurutnya, prestasi keseluruhan pendapatan Tabung Haji bagi tahun kewangan 2020 disokong oleh beberapa aktiviti pelaburan TH dalam aset pendapatan tetap yang telah menjana pendapatan sebanyak RM1.90 bilion. 

 

Selain itu, pelaburan saham sebanyak RM430 juta, pelaburan hartanah sebanyak RM352 juta, dan instrumen pasaran wang Islam menyumbang sebanyak RM318 juta.

 

Tabung Haji juga, katanya, terus komited melindungi kepentingan pendeposit dengan lebih separuh daripada peruntukan asetnya (51%) dilaburkan dalam sukuk yang menawarkan pendapatan tetap. 

 

Langkah ini selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang memberi penekanan kepada pelaburan jangka panjang, pendapatan berulang, selamat serta mempunyai daya ketahanan risiko.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, Tabung Haji menyasarkan agihan keuntungan yang lebih stabil pada masa hadapan selaras dengan matlamat penubuhannya untuk mengurus wang umat Islam bagi mengerjakan ibadah haji.

 

Kadar pulangan yang lebih lestari adalah sangat penting kerana bakal jemaah haji Malaysia perlu menunggu giliran menunaikan haji disebabkan kuota haji yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

 

“Inilah amanah kami yang paling besar. Bagaimana kami perlu memastikan kelangsungan Tabung Haji lebih 100 tahun lagi untuk para jemaah melengkapkan agama. 

 

"Jadi, ini bermakna keselamatan pelaburan amat penting dan Tabung Haji tidak boleh mengambil risiko yang terlalu tinggi, lebih lebih lagi dengan kesan penyusutan ekonomi negara dan dunia disebabkan pandemik COVID-19 pada tahun lalu," katanya. - DagangNews.com