Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak tampilkan barisan muda terajui kepimpinan baharu | DagangNews Skip to main content

Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak tampilkan barisan muda terajui kepimpinan baharu

Chee Meng (kiri) menerima watikah pelantikan menerajui PCCI daripada Presiden Kehormat Tetap ACCCIM dan PCCCI, Dato’ Lim Kok Cheong.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 29 Ogos - Kepimpinan dalam Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak (PCCCI) berubah dengan menampilkan lebih ramai barisan muda.

 

Pelantikan ahli-ahli jawatankuasa baharu melibatkan golongan di bawah 50 tahun dilihat satu perkembangan positif bagi pertubuhan itu.

 

Presiden PCCCI, Dato’ Liew Chee Meng berkata, beliau percaya gandingan tersebut bakal mewujudkan sinergi yang lebih baik.

 

Katanya, ini menunjukkan bahawa kepimpinan PCCCI hari ini mengutamakan barisan muda dan berwibawa serta berintegriti yang boleh memacu pertubuhan berkenaan.

 

Perak
Barisan kepimpinan ketua-ketua cawangan PCCI melafaz ikrar menerajui jawatan masing-masing.

 

 

“Pada Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan 28 Julai lalu di sini dalam sesi pemilihan Ahli Jawatankuasa Pusat PCCCI yang baharu, kesemua 50 AJK yang dicalonkan menang tanpa bertanding. 

 

“Ini mencerminkan keutuhan perpaduan dan keharmonian dalam PCCCI sekali gus menunjukkan AJK baharu akan menerajui PCCCI untuk terus berkembang serta tadbir urus yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Majlis angkat sumpah itu bagi AJK PCCCI yang ke-61, Barisan Jawatankuasa Belia ke-7 dan Cawangan PCCCI untuk sesi 2024/2027. 

 

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua AJK pusat sesi lepas yang sudi berundur untuk memberi laluan kepada kepimpinan baharu.

 

Terutamanya Mantan Timbalan Presiden, Dato’ Ng Yuk Gee yang aktif dalam PCCCI lebih 20 tahun dan telah banyak memberi sumbangan serta idea.

 

Perak
Kok Cheong (duduk di kanan) menyaksikan majlis melafaz ikrar barisan kepimpinan baharu PCCCI.

 

Dalam kenyataan sama, Chee Meng memberitahu, PCCI turut memberi tumpuan untuk menarik penyertaan usahawan muda selain memperkenalkan ahli kepimpinan baharu dalam menerajui PCCCI.

 

Beliau juga mahu ahli-ahli PCCI merebut peluang menganjurkan karnival dan menyertai ekspo perniagaan.

 

“Terbaru, Persidangan Usahawan Cina Sedunia ke-17 akan diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 September depan.

 

“Acara ini dianjurkan oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) membabitkan beberapa forum persidangan untuk menganalisis dan membincangkan pelbagai isu-isu ekonomi. 

 

“Justeru, kita gesa para usahawan khususnya di Perak untuk mengambil bahagian secara aktif dan membuat perancangan sistematik untuk mengukuhkan perniagaan,” ujarnya. - DagangNews.com