KUALA LUMPUR 19 Jan – Digi.Com Berhad mengumumkan pelantikan Tengku Dato’ Sri Azmil Zahruddin bin Raja Abdul Aziz sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat.
Beliau juga akan berkhidmat dengan Lembaga Pengarah sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif. Pelantikan beliau berkuat kuasa serta merta.
Beliau menggantikan Tan Sri Dr Halim Shafie yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan daripada tanggungjawabnya sebagai ahli Lembaga Pengarah pada 19 Januari 2023.
Sebelum pelantikan ini, Tengku Azmil Zahruddin adalah Ketua Pegawai Pelaburan di Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan portfolio pelaburan Khazanah.
Beliau juga pernah berkhidmat dengan Khazanah dalam pelbagai jawatan kanan seperti Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Eksekutif Pelaburan sejak 2011.
Tengku Azmil Zahruddin juga merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines selepas menyertai syarikat itu pada Ogos 2005 sebagai Eksekutif Pengarah dan Ketua Pegawai Kewangan.
Sebelum itu beliau memegang pelbagai jawatan kepimpinan di Penerbangan Malaysia Berhad dan PricewaterhouseCoopers di London dan Hong Kong.
Beliau sebelum ini merupakan Pengerusi Kumpulan UEM dan Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd dan pernah memegang jawatan pengarah dalam Axiata Group Berhad, IHH Healthcare Berhad, dan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre Berhad (MaGIC).
Beliau kini merupakan ahli lembaga Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.
Tengku Azmil Zahruddin memegang Ijazah Kelas Pertama dalam bidang Ekonomi dari Universiti Cambridge.
Beliau merupakan Akauntan Bertauliah dan Ahli Bersekutu Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) serta Ahli Bersekutu Persatuan Bendahari Korporat (ACT). - DagangNews.com