`Dine-in', berkelah, pasar malam dibenarkan di negeri Fasa 1 PPN esok, umum Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

`Dine-in', berkelah, pasar malam dibenarkan di negeri Fasa 1 PPN esok, umum Perdana Menteri

PUTRAJAYA 19 Ogos - Aktiviti Dine-In kini dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN, termasuk aktiviti sukan tanpa sentuhan, berkelah dan pasar malam berkuatkuasa 20 Ogos 2021.

 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, pertimbangan yang dibuat pada hari ini mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang telah melebihi 50 peratus.

 

Menurut bekiau, pencapaian ini adalah lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu 31 Ogos 2021.

 

Selain itu kata beliau, mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di WP Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya).

 

Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40%.

 

Pada masa yang sama kata beliau, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi Hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik. Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.

 

Beliau berkata, situasi ini dilihat selari dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang yang memberangsangkan iaitu 73.8%. Apabila liputan imunisasi meningkat, kita akan melihat kes-kes COVID-19 yang perlu dimasukkan ke ICU mula menunjukkan trend mendatar and diharapkan menurun.

 

''Sehubungan itu, Sidang Khas MKN pada hari ini telah bersetuju untuk memberikan kemudahan-kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 PPN,'' katanya dalam kenyataan media di sini hari ini. 

 

'Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:

a) Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Contohnya Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan

b) Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Contohnya Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

 

Perdana Menteri berkata, bagi aktiviti Dine-In bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN, kerajaan menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik. Risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis, berbanding di luar.

 

Syarat lain ialah :

ii. Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

 

iii. Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dinein di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat.

 

Berkenaan aktiviti sukan yang dibenarkan ialah rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) juga DIBENARKAN bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.

 


i. Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik. Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.


ii. Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house adalah DIBENARKAN selaras dengan kebenaran dine-in. Pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.


iii. Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah TIDAK DIBENARKAN. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.


iv. Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.

v. Aktiviti yang dibenarkan juga termasuklah perkelahan dan perkhemahan. Penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

 

Perdana Menteri berkata, sidang Khas MKN juga bersetuju memberikan kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi Fasa 1 PPN dan seterusnya. Kemudahan yang dibenarkan secara amnya adalah seperti berikut:

a. Operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu adalah DIBENARKAN

i. Pihak penguatkuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap. - DagangNews.com