DKSH edar produk penjagaan kesihatan Glenmark di Malaysia | DagangNews Skip to main content

DKSH edar produk penjagaan kesihatan Glenmark di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - DKSH Holdings (Malaysia) Bhd menerusi unit perniagaan penjagaan kesihatannya menjalinkan kerjasama dengan Glenmark Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd, (Glenmark), anak syarikat kepada Glenmark Pharmaceuticals Ltd bagi pengedaran produk penjagaan kesihatan di Malaysia.

 

Jalinan kerjasama ketiga antara kedua-dua kumpulan itu menyaksikan DKSH Malaysia akan menyelia operasi logistik bagi rangkaian produk Glenmark yang memberi fokus kepada dermatologi, pernafasan dan kesihatan wanita.

 

Dengan memanfaatkan pengalaman industri dan kepakaran logistik DKSH, produk Glenmark akan dapat diakses oleh penduduk Malaysia.

 

Kerjasama dengan Glenmark itu mewakili antara perkongsian strategik DKSH Healthcare tahun ini di Malaysia sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai rakan kongsi rumusan penjagaan kesihatan strategik untuk semua.

 

Naib Presiden dan Ketua Perniagaan Serantau Asia Pasifik, Glenmark Pharmaceuticals, Tomas Mihal berkata, pihaknya mengiktiraf DKSH sebagai rakan kongsi yang ideal bagi pengembangan produk kumpulan itu di Malaysia.

 

"Kerjasama itu memberi inspirasi kepada kami untuk terus membangun dan menyediakan akses kepada lebih banyak produk kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pengurusan Negara dan Naib Presiden Penjagaan Kesihatan DKSH Malaysia, Sandeep Tewari berkata, peluasan perkongsian dengan Glenmark menggariskan komitmen bersama bagi menyediakan penjagaan kesihatan kepada semua melalui inovasi dan kecemerlangan.

 

"Kami menyasarkan pencapaian pencapaian baharu dan membuka lebih banyak peluang menarik dan pada masa sama tidak sabar untuk melihat kesan positifnya di Malaysia," katanya. - DagangNews.com