DNeX lantik 2 ahli lembaga pengarah baharu | DagangNews Skip to main content

DNeX lantik 2 ahli lembaga pengarah baharu

Dr. Bob Wei-Ming Chen (kiri) dan Datuk Robert Fisher menyertai anggota lembaga pengarah DNeX hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) mengumumkan pelantikan Dr. Bob Wei-Ming Chen dan Datuk Robert Fisher sebagai anggota lembaga pengarah berkuat kuasa hari ini. 

 

Ming Chen dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif manakala Robert pula sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pelantikan mereka akan menambah pengalaman dan kepakaran yang signifikan untuk menyokong transformasi dan pertumbuhan DNeX pada masa hadapan.

 

"Menerusi pelantikan ini, Ming Chen dijangka menggunakan kepakarannya selama ini dalam usaha memulihkan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. 

 

"Robert pula akan membawa pengalaman dalam industri minyak dan gas bagi membantu transformasi Ping Petroleum Limited," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Beliau yakin dengan pengalaman yang dimiliki lembaga pengarah dan barisan kepimpinan, dapat membantu DNeX meuncul sebagai syarikat tenaga dan teknologi global. 

 

"Kami komited untuk melaksanakan inisiatif strategik kami dan meletakkan landasan yang relevan untuk mencapai tujuan ini," tambah beliau.

 

Ming Chen ketika ini merupakan Naib Presiden dan Ketua Perniagaan Semikonduktor di Hon Hai Technology Group yang juga dikenali sebagai Foxconn.

 

Sementara itu, Robert pula memiliki 45 tahun pengalaman dalam industri minyak dan gas yang mana sebelum ini merupakan Pengerusi dan Pengarah Urusan ExxonMobil di Malaysia sejak 2003 hingga 2006. - DagangNews.com