KUALA LUMPUR 20 Julai – YTL Land Sdn Bhd mengumumkan pembukaan cawangan pertama jenama istimewa Jepun yang ikonik Don Don Donki di Malaysia iaitu pusat beli-belah Lot 10, Jalan Bukit Bintang di sini menjelang awal tahun 2021.
Kedai berkenaan dimiliki dan dikendalikan oleh Pan Pacific Retail Management (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat Pan Pacific International Holdings yang tersenarai di Bursa Saham Tokyo, yang juga memiliki dan mengendalikan rangkaian kedai diskaun terkenal Don Quijote di Jepun.
Don Don Donki di Lot 10 akan menjadi cawangan Don Quijote di Malaysia, terletak di tengah-tengah Bukit Bintang, destinasi membeli-belah paling popular di Kuala Lumpur.
Pengumuman ini dibuat seiring dengan pengumuman global Pan Pacific International Holdings mengenai pelan pengembangannya di Malaysia.
“Kami dengan sukacitanya mengalu-alukan kemasukan sulung Don Don Donki ke Malaysia di Lot 10. Kedai baru ini dengan maskot birunya bakal menjadi destinasi membeli-belah yang ceria dan berwarna-warni, menawarkan pelbagai jenis produk Jepun dan banyak lagi.
Pan Pacific Retail Management telah membuat keputusan yang strategik dalam memilih pusat membeli-belah ikonik kami yang terletak di tengah bandar raya, yang mampu menarik bukan sahaja warga tempatan malah juga menarik jumlah pelancong yang tinggi dari kawasan sekitar Bukit Bintang yang padat dengan hotel.
Konsepnya yang dinamik menjadi satu penambahan baik di kalangan penyewa-penyewa kami, yang mengukuhkan lagi tema keremajaan pusat membeli-belah iaitu Meet, Play, #LoveLot10.
``Baru-baru ini, syarikat telah menyaksikan kewujudan topik perbualan hangat serta viral mengenai pembukaan ini, dan kami berasa gembira melihat keterujaan yang timbul di kalangan peminat Don Don Donki. Kami juga tidak sabar menantikan pembukaannya,” kata Joseph Yeoh, Naib Presiden YTL Land & Development.
Dijangka siap
Kedai bersetentangan dengan jalan ini, yang terbahagi kepada tiga tingkat, akan menjadi tarikan utama di bahagian pintu masuk terbaru Lot 10 yang dijangka siap menjelang suku terakhir tahun 2020, sekali gus menyambut para pengunjung yang datang dari arah stesen MRT Bukit Bintang serta dari medan pejalan kaki di hadapan pusat membeli-belah ini.
Konsep Don Don Donki yang unik menawarkan pelbagai rangkaian produk mampu milik keluaran Jepun dan global yang disasarkan untuk pasaran Jepun.
Ia dijangka menarik minat pelanggan tempatan yang bijak serta para pelancong yang menyukai barangan Jepun yang ditawarkan pada harga berpatutan. Kedai ini pasti akan mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggan yang sudah biasa dengan tawaran produk hebat di 580 kedai Don Quijote yang sangat popular di seluruh Jepun dan 12 kedai Don Don Donki di luar negara, setakat 7 Julai 2020.
Malaysia adalah pasaran terbaharu disertainya selepas mengembangkan perniagaannya ke Asia Tenggara dengan pelancaran kedai Don Don Donki yang pertama di Orchard Road, Singapura pada Disember 2017.
Perkembangan pesat syarikat itu di Singapura menyaksikan pembukaan tujuh kedai di negara itu setakat ini. Ia kemudian melebarkan sayap ke Thailand pada Februari 2019 dan turut membuka kedai sulung di Hong Kong pada Julai 2019. Kini terdapat dua kedai Don Don Donki di Bangkok dan tiga di Hong Kong.
Diasaskan oleh Takao Yasuda, kedai Don Quijote pertama telah dibuka di Fuchu, Tokyo pada 1989. - DagangNews.com