KUALA LUMPUR 19 April - DPS Resources Berhad mencadangkan pengambilalihan tanah pegangan bebas seluas 102 hektar di Melaka dengan harga RM45.60 juta, untuk melaksanakan projek pembangunan bercampur.
Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengembangkan bank tanahnya dan meningkatkan kehadirannya dalam pasaran hartanah di Melaka.
Kumpulan itu berkata, ia akan membiayai pembelian tanah daripada Pakatan Simbol Sdn Bhd melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.
DPS dijangka membangunkan tanah yang terletak berhampiran Alor Gajah menjadi pembangunan bercampur terdiri daripada lot kedai, rumah mampu milik, rumah berkembar, rumah teres, rumah banglo, rumah bandar dan pangsapuri.
Pembangunan itu dijangka bermula antara 2024 dan 2025, dan mengambil masa enam hingga lapan tahun untuk disiapkan.
Anggaran jumlah nilai pembangunan kasar projek itu ialah RM750 juta, manakala kos pembangunan kasar dijangka RM450 juta.
"Kumpulan itu dijangka memperoleh anggaran keuntungan pembangunan kasar kira-kira RM300 juta sepanjang tempoh projek pembangunan," kata DPS dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com