DS Sigma dijangka meraih RM50.15 juta melalui terbitan IPO | DagangNews Skip to main content

DS Sigma dijangka meraih RM50.15 juta melalui terbitan IPO

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - DS Sigma Holdings Berhad melancarkan prospektus untuk tawaran awam permulaannya (IPO) bersempena dengan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada Januari 2023.

 

Bagi memenuhi rancangan pengembangan perniagaannya, syarikat menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM50.15 juta daripada IPO ini melalui terbitan 91.18 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM0.55 sesaham.

 

Kumpulan itu akan menggunakan 34.30% daripada RM50.15 juta yang akan dikumpul bagi mengembangkan kemudahan operasinya dan 31.91% untuk pembelian jentera dan peralatan baharu.

 

Sejumlah 2.27% lagi akan disalurkan ke arah penubuhan pusat reka bentuk dan inovasi pembungkusan manakala 11.96% akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan 10.79% adalah untuk modal kerja manakala baki 8.77% akan diperuntukkan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Pengarah Urusannya, Lucille Teoh Soo Lien berkata, penyenaraian kumpulan itu di Pasaran ACE memberikan mereka lebih peluang untuk mengembangkan bahagian pasaran kerana mereka hanya menyumbang 2.5% daripada pasaran Malaysia berdasarkan Laporan Tinjauan Industri yang disediakan oleh Penyelidik Pasaran Bebas.

 

"Melalui pelaksanaan IPO ini, DS Sigma berhasrat untuk mengumpul RM50.15 juta dengan sebahagian besar daripada hasil akan digunakan untuk mengembangkan keupayaan kami untuk menguasai lebih banyak bahagian pasaran ini,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment Bank Berhad, Lee Yo Hunn berkata, pihaknya berbangga untuk membawa kumpulan itu ke pasaran modal di Malaysia.

 

"Kami percaya bahawa kumpulan itu berada di landasan terbaik utk berkembang dan berada di tahap yang lebih tinggi selain mencipta lebih banyak nilai untuk semua pihak berkepentingan," katanya.

 

Public Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com