SINGAPURA 23 Nov. - Harga minyak terus melonjak pada Isnin apabila peniaga melihat tanda-tanda pemulihan dalam permintaan minyak mentah ekoran kejayaan ujian vaksin COVID-19.
Bagaimanapun, kenaikan harga adalah terbatas disebabkan langkah sekatan yang dilaksanakan beberapa negara.
Menurut Reuters, sentimen yang menyokong harga minyak juga didorong oleh harapan terhadap Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC), Rusian dan pengeluar lain yang dikenali sebagai OPEC+, akan memastikan pengeluaran minyak terkawal.
Niaga hadapan Brent naik 21 sen atau 0.5% kepada AS$45.17 setong pada 0436 GMT manakala West Texas Intermediate naik 10 sen atau 0.2% kepada AS%42.52 setong.
Kedua-dua harga minyak ini meningkat sehingga 5% minggu lalu.
Ketua Strategi Pasaran Galobal di Axi, Stephen Innes berkata, sentimen positif ini akan dipacu oleh perkembangan positif dalam keberkesanan vaksin COVID-19 dan jangkaan mesyuarat OPEC+ hujung bulan ini yang akan menyaksikan kumpulan ini menangguhkan pengurangan semasa antara 3 hingga 6 bulan.
Sementara itu, Ketua Penasihat Saintifik bagi 'Operation Warp Speed' berkata, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi kelulusan pada pertengahan Disember bagi agihan pengeluaran vaksin oleh Pfizer Inc. dan rakan kongsinya dari German, BioNTech.
OPEC+ pula yang akan bermesyuarat pada 30 November dan 1 Disember, dilaporkan sedang membuat pertimbangan untuk menangguhkan sekurang-kurangnya 3 bulan bermula Januari, penurunan 7.7 juta tong sehari kepada sekitar 2.2 juta tong sehari.
Tetapi, syarikat minyak Rusia yang kecil masih lagi merancang untuk mengeluarkan lebih banyak minyak mentah tahun ini di sebalik persetujuan global untuk mengurangkan bekalan. - DagangNews.com