KUALA LUMPUR 13 Jan - Seorang pengarah syarikat pengeluar getah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada syarikat Grant Thornton Malaysia PLT berhubung penjualan mesin terpakai yang tidak wujud berjumlah hampir RM3 juta, dua tahun lepas.
Wong Ping Kiong, 60, merupakan Pengarah syarikat Goodway Rubber Industries Sdn Bhd mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, menurut laporan Bernama.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa memberi dokumen Debit Note GIIB Rubber bertarikh 30 Dis 2019, berjumlah RM2.95 juta kepada pengurus audit syarikat Grant Thorntorn, Tam Siew Ping, yang mengandungi butiran palsu berhubung penjualan enam unit mesin terpakai sedangkan penjualan tersebut tidak berlaku dan bertujuan untuk mengelirukan syarikat Grant Thorntorn.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Wong didakwa melakukan kesalahan sama dengan memperdayakan syarikat Grant Thorntorn melibatkan satu lagi dokumen berjumlah RM2.95 juta, yang mengandungi butiran palsu iaitu kebenaran diberi kepada syarikat Goodway Rubber Industries Sdn Bhd bagi pelupusan mesin terpakai sama, sedangkan pelupusan itu tidak berlaku.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di pejabat Grant Thornton Malaysia, Sheraton Imperial Court, Jalan Sultan Ismail di sini antara Januari dan Februari 2021 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, seorang lagi pengarah syarikat itu, Tai Boon Wee, 63, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Wong berhubung pelupusan mesin terpakai pada lokasi dan tarikh serupa.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta serupa membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 atau mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How menawarkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh untuk semua pertuduhan dan pasport diserahkan kepada mahkmah.
Peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan antara RM30,000 dan RM50,000 dengan alasan kedua-dua anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan oleh SPRM selain tiada risiko untuk melarikan diri.
"Mereka merupakan pengarah syarikat dan mempunyai kepentingan bagi membersihkan nama mereka daripada pertuduhan-pertuduhan ini. Saya juga akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk mempertimbangkan pertuduhan dihadapi anak guam," katanya.
Mahkamah membenarkan Wong dan Tai masing-masing diikat jamin RM60,000 dan RM50,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport keduadua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan serta menetapkan 28 Feb ini untuk sebutan kes. - DagangNews.com