Duopharma akan terus berdepan tekanan kos bahan aktif farmaseutikal, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Duopharma akan terus berdepan tekanan kos bahan aktif farmaseutikal, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - Duopharma Biotech Berhad akan terus berdepan tekanan kos bahan aktif farmaseutikal kesan daripada pengukuhan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding Ringgit Malaysia pada suku tahun kewangan akan datang.

 

CGS-CIMB Research berkata, kumpulan itu juga dijangka berdepan kenaikan perbelanjaan operasi (opex) bagi kilang lama K1 dan K3 yang akan mula beroperasi pada FY23 secara serentak dengan pemindahan peralatan dari K1 ke K3 mengambil masa dua tahun.

 

Katanya, harga bahan aktif farmaseutikal mula menyusut sejak tiga bulan lalu dan dijangka kembali normal pada 2QFY23.

 

"Walaupun hampir 60% darioada kos jualannya dalam dolar, pendedahan terhadap mata wang itu dilindungi nilai sebahagiannya melalui jualan eksport (9MFY22:6% daripada jumlahnya) dan kemudahan lindung nilai," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 3QFY22 kumpulan itu menyusut 3.62% kepada RM16.35 juta berbanding RM16.96 juta setahun lalu kesan daripada tekanan kos kewangan dan operasi.

 

Pendapatan sesaham (EPS) untuk suku itu juga menyusut kepada 1.72 sen daripada 1.8 sen.

 

Hasil kumpulan itu meningkat 3.05% kepada RM177.07 juta daripada RM171.84 juta.

 

Firma itu berkata, hasil jualan eksport bagi 3QFY22 meningkat sebanyak 32.9% dari suku ke suku (15.6% dari tahun ke tahun) terutama selepas kumpulan itu berjaya mendapatkan kontrak di Singapura dan Brunei.

 

Katanya, hasil eksport dijangka bertambah baik pada suku tahun akan datang, dibantu oleh penarikan berperingkat sekatan COVID-19 secara global, serta mengurangkan isu logistik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM1.85 sesaham," katanya. - DagangNews.com