Duopharma Biotech terima Anugerah Perniagaan Lestari | DagangNews Skip to main content

Duopharma Biotech terima Anugerah Perniagaan Lestari

 

KUALA LUMPUR, 27 Okt.-  Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) dinobat sebagai penerima Anugerah Perniagaan Lestari (SBA) 2020/21 di bawah kategori Organisasi Besar untuk amalan kelestarian. 

 

Pemenang anugerah itu dinilai berdasarkan maklumat awam yang tersedia dan beberapa siri penilaian untuk memahami komitmen kelestarian yang dilaksanakan oleh organisasi.

 

Dalam majlis itu, Duopharma Biotech membawa pulang lima trofi bagi kategori Etika dan Tanggungjawab Perniagaan, Pengurusan Pihak Berkepentingan, Matlamat Pembangunan Lestari PBB dan menerima Anugerah Pencapaian Penting bagi kategori Pengurusan Air dan Produktiviti dan Materialiti Sisa. 

 

Penyampaian anugerah tersebut telah disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pihak syarikat mahu menanamkan nilai kelestarian dalam segenap operasi perniagaan.

 

“Ahli Lembaga Pengarah merupakan orang penting yang memimpin inisiatif kelestarian di Duopharma Biotech, berpandukan Jawatankuasa Pengurusan Risiko dan Kelestarian yang ditubuhkan. Pada masa sama, Jabatan Kelestarian kami dipimpin oleh pakar-pakar kesihatan dan keselamatan serta seorang pakar kelestarian yang melapor kepada Ketua Pegawai Pengeluaran.

 

"Kami komited mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan 10 Prinsip, dengan pemetaan SDG yang dimasukkan dalam Laporan Kelestarian kami, seiring dengan kedudukan kami sebagai anggota Rangkaian Global Compact Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei (UNGCMYB). 

 

"Kami juga telah menyepadukan risiko melibatkan kelestarian ke dalam kerangka Pengurusan Risiko Perusahaan (ERM). Visi kelestarian yang menyeluruh ini bertepatan dengan nilai teras Kumpulan yang mengutamakan semangat, kecemerlangan, kerjasama berpasukan, tanggungjawab, integriti dan hormat," katanya dalam satu kenyataan.

 

Duopharma Biotech berhasrat meneruskan amalannya untuk mendapat pengesahan pihak ketiga melibatkan data yang dibentang di dalam Laporan Kelestariannya, bagi memastikan penerimaan dan kredibiliti pelan tindakan yang dijalankan. 

 

Bagi pertengahan tahun kedua 2021, kumpulan akan fokus kepada peningkatan skor Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, selain memastikan semua inisiatif kelestariannya seiring dengan SDG PBB dan 10 prinsip yang telah ditetapkan.-DagangNews.com