EA Technique catat lonjakan untung bersih 11 kali ganda kepada RM94.6 juta pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

EA Technique catat lonjakan untung bersih 11 kali ganda kepada RM94.6 juta pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - EA Technique (M) Bhd menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak 11 kali ganda kepada RM94.65 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding RM7.8 juta pada 2QFY23.

 

Kumpulan itu berkata, lonjakan besar itu disokong oleh hapus kira yang dikaitkan dengan skim pemiutang dan perbelanjaan sekali sahaja daripada pelan penyusunan PN17.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun, susut kepada RM30.6 juta daripada RM33.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas disebabkan oleh tamatnya kontrak kapal FPSO, diimbangi dengan kadar penggunaan yang lebih tinggi daripada bot kru dan segmen operasi pelabuhan.

 

Bagi separuh pertama 2024 (1HFY24), untung bersihnya melonjak kepada RM101.54 juta berbanding RM15.29 juta manakala hasilnya susut kepada RM61.81 juta berbanding RM68.2 juta setahun lalu.

 

Pada 2024, kumpulan itu mengukuhkan kedudukannya dengan kontrak terjamin baharu.

 

Ia termasuk sambungan dengan Northport (Malaysia) Bhd bagi perkhidmatan bot tunda pelabuhan bernilai RM6.4 juta dan kontrak dengan Petronas Carigali Sdn Bhd untuk bot kru laju bernilai RM3.6 juta.

 

Sehingga 1HFY24, buku pesanan syarikat berjumlah RM136.4 juta dengan tambahan RM281.2 juta untuk tempoh boleh dilanjutkan.

 

Pengarah Eksekutif kumpulan, Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Husin dan Datuk Lai Keng Onn dalam satu kenyataan bersama berkata,  Kemasukan Voultier Sdn Bhd mencerminkan keyakinan dua pelabur utama terhadap potensi kumpulan. 

 

Katanya, keuntungan konsisten kumpulan selama beberapa suku tahun menyerlahkan kekuatan perniagaan, dan pihaknya komited untuk mengekalkan momentum ini.

 

"Cabaran semasa adalah sementara, dan kami yakin kumpulan semakin menghampiri penghujung tempoh sukar ini, dengan EA Technique berada pada trajektori menaik yang jelas.

 

"Adalah sama penting bagi pemegang saham kami untuk memahami, pelantikan lembaga pengarah baru-baru ini adalah langkah strategik memastikan pertumbuhan jangka panjang. 

 

"Kami yakin perubahan ini akan meningkatkan kredibiliti kumpulan dan memberikan kelebihan yang ketara untuk pengembangan masa depan," katanya.- DagangNews.com