E.A. Technique raih dua kontrak bernilai RM12.62 juta daripada Sungai Udang Port | DagangNews Skip to main content

E.A. Technique raih dua kontrak bernilai RM12.62 juta daripada Sungai Udang Port

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - E.A. Technique (M) Berhad berjaya meraih dua kontrak bernilai RM12.62 juta daripada Sungai Udang Port Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat MISC Maritime Services Sdn. Bhd. bagi menyedia serta mengendalikan satu Bollard Pull Utility Tug 25 Tan dan satu unit Bollard Pull Utility Tug 40 tan.

 

Kumpulan itu berkata, tempoh bagi kedua-dua kontrak itu adalah untuk dua tahun dengan pilihan lanjutan setahun dan perlu dilaksanakan mengikut pilihan Sungai Udang Port pada terma dan syarat yang sama. 

 

"Tarikh permulaan kedua-dua kontrak ialah 1 Ogos 2023," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kedua-dua kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset ketara bersih kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan seterusnya.

 

Kontrak itu juga dijangka tidak memberi sebarang kesan ke atas modal diterbitkan dan berbayar atau struktur pegangan saham syarikat.

 

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, tiada faktor risiko penting yang dikaitkan dengan kontrak kecuali risiko operasi dan pelaksanaan seperti kemalangan, kerosakan kapal yang tidak dijangka, keadaan cuaca, serta keadaan politik, ekonomi dan peraturan.

 

Dalam mengurangkan risiko sedemikian, syarikat menjalankan pemeriksaan rutin dan penyelenggaraan berkala berdasarkan program penyelenggaraan lengkap.- DagangNews.com