EAC garis 8 agenda perubahan sebagai teras strategik pacu transformasi ekonomi negara | DagangNews Skip to main content

EAC garis 8 agenda perubahan sebagai teras strategik pacu transformasi ekonomi negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Dis - Sekreteriat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) menggariskan lapan agenda perubahan menerusi dokumen Resetting Malaysia: Aligning to The New Economic Landscape, untuk dipertimbangkan kerajaan, sebagai teras strategik untuk memacu transformasi ekonomi negara bertepatan dengan landskap baharu pasca-krisis COVID-19.

 

Pengarah Eksekutif EAC, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, perubahan itu merangkumi aspek pendigitalan ekonomi, aplikasi teknologi termaju, penyusunan strategi globalisasi, pengukuhan tanggungjawab bersama, tadbir urus dan kelestarian, penyediaan bakat, pemerkasaan perkhidmatan awam dan pasaran yang adil dan kompetitif, menangani kerentanan dan transformasi korporat.

 

Beliau berkata, dokumen tersebut adalah laporan hasil kajian dari sesi libat urus dan bengkel intensif bersama kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, ahli akademik serta pemegang taruh daripada pelbagai industri dan institusi yang telah diadakan sejak tahun lalu.

 

“Pendekatan ini diambil bagi memastikan cadangan yang konklusif dan menyeluruh dibuat berasaskan pengalaman, pemerhatian dan pandangan semua pihak, susulan daripada krisis ekonomi akibat dari pandemik COVID-19. 

 

"Cadangan perubahan tertumpu kepada aspek struktur yang diperlukan untuk Malaysia terus cemerlang selaras dengan landskap ekonomi baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dokumen berjumlah 143 muka surat tersebut turut menyenaraikan 30 fokus utama dan 153 inisiatif perubahan yang disyorkan oleh Sekretariat EAC.

 

Dokumen berkenaan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh Noor Azlan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi. - DagangNews.com