Eco World Development Group catat rekod jualan RM3.84 bilion bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Eco World Development Group catat rekod jualan RM3.84 bilion bagi FY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Dis - Eco World Development Group Berhad mencatatkan rekod jualan RM3.84 bilion pada FY22 mengatasi rekod tertinggi sebelumnya RM3.82 bilion.

 

Kumpulan hartanah itu dalam satu kenyataan berkata, angka jualan itu juga melepasi sasaran tahunan FY22 sebanyak RM3.5 bilion dengan sumbangan RM753.3 juta daripada empat taman perniagaan iaitu Eco Business Parks I, II dan III di Iskandar Malaysia dan Eco Business Park V di Lembah Klang.

 

Kumpulan itu juga melaporkan jualan sebanyak RM446.3 juta dalam hartanah komersial dan lebih RM2.3 bilion dalam jumlah jualan kediaman.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chang Khim Wah berkata, keputusan strategik kumpulan pada FY22 untuk melancarkan lebih banyak rumah naik taraf dan mewah di seluruh tiga wilayah operasinya membuahkan hasil yang sangat positif.

 

"Hampir RM1.7 bilion adalah hasil jualan rumah berharga melebihi RM650,000 mewakili 44% jumlah jualan kumpulan.

 

"Rumah berharga di bawah RM650,000 juga membentuk komponen besar portfolio EcoWorld Malaysia dengan jualan RM648.9 juta yang dicapai tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada 4QFY22, Eco World mencatatkan untung bersih RM1.78 juta, berbanding RM42.84 juta pada suku sama tahun lalu, berikutan pendapatan terjejas oleh kemerosotan nilai pelaburan serta peningkatan kerugian lebih tinggi dalam EcoWorld International.

 

Sementara itu, hasil turun kepada RM559.28 juta daripada RM666.05 juta.

 

Bagi tahun kewangan penuh, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM157.21 juta berbanding RM182.74 juta pada FY21 dan hasil pada FY22 ialah RM2.04 bilion, lebih tinggi sedikit berbanding tahun sebelumnya.

 

Melangkah ke hadapan, Chang berkata kumpulan itu mengekalkan sasaran jualan tahunannya pada RM3.5 bilion dan akan meningkatkan pulangan dengan melancarkan produk dengan margin keuntungan yang lebih tinggi dan dengan keuntungan mutlak yang lebih tinggi bagi setiap kaki persegi untuk memperoleh pulangan optimum.

 

Beliau menambah bahawa kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada melancarkan lebih banyak produk inovatif yang memenuhi keperluan gaya hidup asas pelanggan berbilang generasi dan etniknya. - DagangNews.com