Econpile diyakini kembali catat untung pada FY25 dipacu kontrak baharu dengan margin tinggi, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Econpile diyakini kembali catat untung pada FY25 dipacu kontrak baharu dengan margin tinggi, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Econpile Holdings Bhd diyakini kembali mencatat keuntungan pada FY25 didorong sumbangan kontrak baharu yang menawarkan margin yang lebih baik berbanding projek-projek sebelum ini.

 

AmInvestment Bank Research berkata, pihak pengurusan juga sedang menunggu projek-projek besar daripada kerajaan seperti MRT3, lebuh raya Pantai Barat dan projek-projek lain bagi meningkatkan buku pesanannya.

 

Katanya, berdasarkan persekitaran pembinaan yang aktif, ia seharusnya diterjemahkan kepada lebih banyak permintaan untuk pekerjaan asas pembangunan.

 

"Hutang bersih kumpulan berjumlah RM66 juta, diterjemahkan kepada kadar penggearan bersih sebanyak 0.18x.

 

"Ia merupakan sedikit peningkatan daripada 0.24x daripada suku sebelumnya kerana bayaran untuk kerja yang telah disiapkan telah meningkatkan tahap tunainya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menjana aliran tunai positif sebanyak RM12.7 juta pada FY24, peningkatan ketara daripada aliran keluar RM5 juta tahun lepas.

 

Katanya, kerugian bersih FY24 sebanyak RM25.2 juta adalah 51% lebih tinggi daripada ramalan dan konsensus. 

 

"Ia merupakan tahun yang mencabar bagi Econpile kerana kadar penggunaan yang rendah (di bawah 50%) kerana pekerjaan syarikat kebanyakannya adalah kontrak dengan hasil rendah yang ditandatangani semasa wabak, diburukkan lagi oleh peningkatan kos konkrit," katanya.

 

AmInvestment berkata, buku pesanan tertunggak terkini kumpulan ialah RM409 juta, sebahagian besarnya tidak berubah dari suku tahun ke suku tahun.

 

Katanya, kadar penggunaan untuk jentera dan tenaga kerja syarikat adalah pada kadar kurang 50%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 40 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com