Econpile terima kontrak bernilai RM65.5 juta daripada AZRB bagi naik taraf jalan pintasan Cameron Highlands | DagangNews Skip to main content

Econpile terima kontrak bernilai RM65.5 juta daripada AZRB bagi naik taraf jalan pintasan Cameron Highlands

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Econpile Holdings Bhd menerusi Econpile (M) Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM65.5 juta daripada Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) bagi kerja-kerja menaik taraf jalan pintasan Cameron Highlands.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu melibatkan kerja-kerja naik taraf jalan bermula dari bulatan McDonald's ke persimpangan Brinchang / Time Tunnel (FT59) dan membina one way loop di Kea Farm, Cameron Highlands. 

 

"Projek ini akan disiapkan dalam tempoh 33 bulan mulai 2 Januari 2024.

 

"Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan syarikat dari tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan seterusnya," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, tiada risiko ketara yang boleh dijangka selain daripada risiko operasi yang berkaitan dengan projek sepanjang tempoh kontrak.

 

Katanya, pihak pengurusan akan melaksanakan langkah kawalan dan prosedur operasi untuk mengurangkan kesan atau kemungkinan kejadian tersebut.

 

Tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam projek itu. - DagangNews.com