KUALA LUMPUR 26 Jun - Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Development) berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM3.5 bilion bagi FY23.
Public Investment Bank Berhad (PublicInvest) berkata, prestasi kumpulan yang lebih baik daripada jangkaan hadir daripada segmen komersial dan perindustrian telah meningkatkan pra-jualan kumpulan kepada kira-kira RM2.4 bilion, atau sudah berada pada 68.5% daripada sasaran jualan FY23.
Firma itu berkata, kumpulan itu berjaya menjual produk perindustrian bernilai RM838 juta dalam tempoh tujuh bulan, yang telah melepasi pencapaiannya sepanjang tahun pada FY22.
"Sementara itu, jumlah jualan kediaman telah melebihi RM1.22 bilion, membentuk 51% daripada jualan tahun sehingga kini yang dicapai, didorong terutamanya oleh rumah berharga lebih tinggi di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang.
"Produk komersial kumpulan menyumbang RM341 juta tahun setakat ini daripada pelancaran baharu pelbagai unit runcit, kedai dan pejabat di perbandarannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, firma itu berkata, Eco World International (EWI) berjaya menjual RM619 juta dalam tempoh tujuh bulan dan berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan FY23 sebanyak RM1.4 bilion.
Katanya, EWI akan terus memberi tumpuan kepada penjualan stok siapnya yang telah menjana wang tunai yang banyak (jumlah tunai kumpulan, deposit dan pelaburan lain telah meningkat lagi kepada RM922 juta, atau tunai bersih kira-kira RM652 juta).
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 88 sen. - DagangNews.com