Edelteq lengkapkan perjanjian taja jamin bersama UOH Kay Hian bagi terbitan IPO di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Edelteq lengkapkan perjanjian taja jamin bersama UOH Kay Hian bagi terbitan IPO di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mac - Pembekal sokongan kejuruteraan untuk litar bersepadu (IC) pemasangan dan proses ujian dalam industri semikonduktor, Edelteq Holdings Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd sebagai sebagaian proses tawaran awam permulaan (IPO) di pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Tawaran IPO itu akan melibatkan terbitan awam sebanyak 100 juta saham baharu, mewakili 18.78% daripada modal saham Edelteq yang diperbesarkan dan tawaran untuk penjualan 43.20 juta saham sedia ada, atau 8.11% daripada saham yang diperbesarkan, melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Daripada jumlah keseluruhan, 26.63 juta akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian; 10 juta saham disediakan kepada pekerja dan orang yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan, manakala baki 63.37 juta saham diperuntukkan untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Menurut perjanjian taja jamin itu, UOB Kay Hian akan menaja jamin sejumlah 36.63 juta saham baharu yang disediakan kepada orang awam Malaysia pekerja yang menyumbang kepada kejayaan syarikat.

 

Edelteq, melalui anak syarikat milik penuhnya, terlibat terutamanya dalam penyediaan sokongan kejuruteraan untuk pemasangan IC dan proses ujian dalam industri semikonduktor termasuk reka bentuk, pemasangan dan pembekalan papan bakar IC, papan litar bercetak (PCB), pemasangan IC dan bahan guna ujian, serta peralatan ujian automatik.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Edelteq, Chin Yong Keong berkata, perjanjian itu membawa kumpulan itu semakin hampir dengan penyenaraian di Pasaran ACE sekali gus memberikan mereka akses kepada pasaran modal ekuiti, kami akan mempunyai sumber dan fleksibiliti untuk mengembangkan pasaran.

 

Katanya, industri semikonduktor menyaksikan pertumbuhan luar biasa, didorong oleh kemajuan pesat dalam teknologi yang telah mendorong permintaan global yang melonjak untuk produk Elektrik & Elektronik (E&E).

 

Beliau berkata, pertumbuhan itu juga didorong oleh peningkatan penggunaan Internet Kebendaan (IoT), perkembangan terkini dalam elektronik automotif, dan inisiatif kerajaan yang proaktif yang menyokong industri E&E.

 

"Kami merancang untuk memperuntukkan sebahagian besar hasil IPO bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan serta pengenalan produk baharu.

 

"Perluasan itu memerlukan ruang pengeluaran yang lebih besar untuk jentera baharu dan ruang pejabat tambahan untuk peningkatan sumber manusia pada masa hadapan.

 

"Kami juga akan mengarahkan sumber ke arah usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk pembangunan peralatan ujian automatik baharu dan kaedah pengubahsuaian, serta mempertingkatkan penyelesaian automasi kilang kami," katanya.

 

Edelteq akan disenaraikan di Pasaran ACE menjelang Mei 2023 dengan UOB Kay Hian sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com