Edgenta NXT bertujuan lonjakkan perniagaan ke arah transformasi digital | DagangNews Skip to main content

Edgenta NXT bertujuan lonjakkan perniagaan ke arah transformasi digital

KUALA LUMPUR 29 Julai - UEM Edgenta Bhd telah melancarkan Edgenta NXT, platform ekosistem digital pertamanya bertujuan melonjakkan perniagaan ke arah transformasi digital.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, platform itu sejajar dengan visi syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur itu  'Edgenta of the Future 2025'  untuk memacu transformasi digital dan  menyediakan perkhidmatan infrastruktur awan hujung ke hujung di bawah
Edgenta NXT Cloud.

 

"Edgenta NXT memanfaatkan kepakaran inovasi sistemik UEM Edgenta dan menukarkannya kepada harta intelektual teknologi, menceburi penyelesaian model perisian-seperti-perkhidmatan-berkemampuan awan bagi  membangunkan rangkaian penyelesaian siap sedia," kata beliau pada pelancaran platform ekosistem
digital Edgenta NXT secara maya pada Rabu, lapor Bernama.

 

Syahrunizam menambah penyelesaian termasuklah QuickMed, Bangunan Pintar, Pengurusan Aset Pintar, Pengurusan Projek Pintar, dan Jalan raya Pintar  yang disokong oleh rakan awan Alibaba Cloud, iaitu tulang belakang teknologi digital dan kecerdasan Alibaba Group.

 

“Tiga tawaran utama dalam ekosistem digital ini termasuklah Edgenta NXT Cloud, Edgenta NXT Marketplace, dan Edgenta NXT Procure.

 

"Mereka memberi pelanggan akses ke pilihan penyelesaian pengurusan berasaskan milik awan yang akan menghubungkan, mengoptimumkan dan menyelaraskan operasi perniagaan," kata beliau.

 

Syahrunizam percaya bahawa transformasi perniagaan yang dipacu oleh teknologi sangat penting bagi syarikat untuk terus berdaya saing dalam ekonomi pasca pandemik dan membantu merapatkan jurang penggunaan teknologi dalam kalangan perniagaan.

 

Selain itu, beliau berkata Edgenta NXT juga melancarkan produk penjagaan kesihatan sulungnya QuickMed, penyelesaian penjagaan kesihatan digital yang bertujuan merapatkan jurang antara penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan dan masyarakat melalui platform penjagaan kesihatan yang cerdas menerusi aplikasi mudah alih.

 

"Antara pelbagai penyelesaiannya, QuickMed telah bergabung dalam memerangi COVID-19 bagi membolehkan tempahan untuk ujian calitan, mengaktifkan Pusat Penilaian COVID-19 UELC swasta pertama di negara ini, dan membantu syarikat dalam menguruskan program saringan COVID-19 tanpa sentuh secara besarbesaran.

 

"Edgenta NXT diharapkan membawa syarikat ke arah pertumbuhan yang lebih tinggi dalam tiga hingga lima tahun ke hadapan  dengan pelan pengembangan geografinya," kata Syahrunizam. - DagangNews.com