edotco tandatangan Ikrar Bebas Rasuah sebagai komitmen kekang budaya rasuah | DagangNews Skip to main content

edotco tandatangan Ikrar Bebas Rasuah sebagai komitmen kekang budaya rasuah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - Syarikat telekomunikasi terkemuka Asia, edotco menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memperbaharui komitmen dalam mewujudkan masyarakat bebas rasuah dan menyumbang kepada pembentukan dunia yang lebih baik.

 

IBR merupakan inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberi penekanan kepada janji kepemimpinan sesebuah syarikat dan kakitangan dalam memastikan semua menjalankan tanggungjawab tanpa terlibat dengan unsur rasuah.

 

Majlis IBR yang diadakan di Axiata Tower, KL Sentral, hari ini disertai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Adlan Tajudin; Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Audit, Abraham Verghese bersama Timbalan Pengarah Bahagian Komuniti Pendidikan SPRM, Mohd. Tarmize Abdul Manaf.

 

Pengarah Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan edotco, Azzahraa Annuar berkata, majlis berkenaan merupakan sesuatu yang penting bagi syarikat itu dalam mengesahkan komitmen mereka dalam menjadi organisasi yang telus dan berintegriti.

 

"Menerusi komitmen ini, kami menjadi semakin hampir dalam membentuk masyarakat dan dunia yang lebih baik.

 

"Syarikat ini akan ditadbir dengan lebih baik dan setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada integriti tanpa sebarang pengaruh rasuah.

 

edotco

 

"Sebagai sebuah syarikat yang lestari kami komited untuk memberikan sokongan kepada SPRM dalam membanteras jenayah rasuah," katanya dalam satru kenyataan, hari ini.

 

Program IBR itu juga adalah sebahagian daripada daripada usaha risiko dan pematuhan syarikat dalam mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 370001 menjelang 2023. - DagangNews.com