Ekonomi ASEAN bakal pulih beransur kecuali Vietnam, Indonesia | DagangNews Skip to main content

Ekonomi ASEAN bakal pulih beransur kecuali Vietnam, Indonesia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Penganalisis melihat ekonomi di enam buah negara ASEAN (ASEAN-6) termasuk Malaysia bakal memulih beransur-ansur atau lengkungan U berbanding lengkungan V (pemulihan mendadak). 

 

Bagaimanapun, Vietnam dan Indonesia terkecuali. 

 

Ekonomi Vietnam tidak berdepan isu kegawatan atau kemelesetan seperti mana dihadapi seluruh dunia, manakala Indonesia pula tidak melaksanakan perintah berkurung yang ketat walaupun kes jangkitan COVID-19 mencanak. 

 

Dalam laporan ‘ASEAN Macro Year Ahead: 2021 Recovery & Reopening’, para penganalisis dari Maybank Kim Eng menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN-6 berkembang sebanyak 5.3% pada 2021 dan 5% menjelang 2022 selepas menguncup 3.8% pada tahun ini. 

 

“Kelonggaran perintah berkurung dan kawalan sempadan yang ketara hanya dapat dilaksanakan pada pertengahan 2021 apabila vaksin tersedia secara meluas. 

 

“Berbeza dengan kemelesetan ekonomi lalu, pemulihan KDNK kali ini akan lebih dipacu oleh perkhidmatan berbanding pembuatan dan eksport,” jelas laporan itu. 

 

Bagi Maybank Kim Eng, bank-bank pusat ASEAN akan mengekalkan dasar monetari akomodatif dan kadar yang terendah. 

 

Firma penyelidik itu menjangkakan potongan dasar hanya berlaku di Indonesia iaitu sehingga 25 mata asas (bps). 

 

Dalam pada itu, inflasi pula mungkin meningkat sedikit tetapi kekal pada paras rendah dalam julat unjuran bank pusat dan zon selesa. 

 

“Kami menjangkakan inflasi ASEAN-6 berada pada paras purata 2.1% pada 2021, meningkat sedikit daripada 1.2% pada 2020.

 

“Kerajaan dijangka melanjutkan sokongan fiskal dan skim moratorium pinjaman walaupun meruncing dan lebih bersasar pada separuh pertama 2021 (1H21),” tambah Maybank Kim Eng. 

 

Dalam perkembangan vaksin COVID-19, keimunan gerompok (herd immunity) dijangka dicapai pada suku keempat 2021 (4Q21) di Singapura, Malaysia dan Thailand. 

 

Indonesia, Filipina dan Vietnam pula menjelang separuh pertama 2022 (1H22). 

 

Di Malaysia, Maybank Kim Eng menjangkakan ekonomi negara berkembang 5.1% pada 2021 selepas menguncup 5.4% pada tahun ini. 

 

Bagaimanapun, terdapat cabaran untuk Malaysia bergerak ke arah pemulihan memandangkan negara ketika ini menghadapi gelombang ketiga jangkitan COVID-19 dan lebih teruk berbanding sebelum ini. 

 

Jadi, Malaysia memerlukan rangsangan kewangan dan fiskal yang berterusan. 

 

Disebabkan itu, Maybank Kim Eng menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) bakal mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) 1.75% sehingga penghujung 2021. 

 

“Politik domestik kekal penghalang utama, oleh itu terdapat risiko penurunan kepada ekonomi dari segi ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik. 

 

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kekal sebagai digit majoriti rendah dalam Parlimen kekal sebagai sebuah isu ketika undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri masih tegang antara rakan gabungan PN terutama parti Bersatu dan UMNO yang mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN). 


Pilihan raya umum (PRU) yang cepat pada tahun 2021 adalah kemungkinan yang berbeza - menjelang pertengahan 2023 di bawah kitaran PRU lima tahun penuh - terutamanya jika gelombang ketiga COVID-19 semasa terkawal berikutan ketersediaan COVID-19 vaksin,” jelas Maybank Kim Eng. - DagangNews.com