Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Prestasi ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2020 dijangka lebih baik berbanding suku kedua sebelumnya.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jangkaan tersebut dibuat memandangkan pakej rangsangan ekonomi yang berterusan yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi keseluruhannya.
"Prestasi makro ekonomi pada Julai telah memberikan petunjuk awal bagi suku ketiga 2020.
"Prestasi suku ketiga dijangka akan lebih baik berbanding suku kedua. Ini sejajar dengan Indeks Pelopor yang menunjukkan pemulihan ekonomi dalam waktu terdekat serta prospek ekonomi yang lebih cerah menjelang 2021," kata beliau menerusi laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 5/2020 yang dikeluarkan DOSM hari ini.
Laporan tersebut mengetengahkan prestasi ekonomi Malaysia yang terkini berdasarkan statistik yang telah dikeluarkan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dengan kegiatan aktiviti ekonomi Malaysia yang kembali aktif, perkara tersebut memberi petanda kepada pemulihan ekonomi yang dapat digambarkan melalui petunjuk makro ekonomi pada Julai.
Jelasnya, senario tersebut dapat dilihat dengan peningkatan jumlah tenaga kerja iaitu 15.82 juta orang pada Julai 2020 daripada 15.76 juta orang pada bulan sebelumnya di samping penurunan kadar pengangguran kepada 4.7% berbanding 4.8% pada bulan sebelumnya.
Nilai jualan bagi sektor pembuatan meningkat kepada RM119.3 bilion pada Julai dengan peningkatan 2.1% bagi bulan ke bulan.
Perdagangan borong dan runcit juga menunjukkan pemulihan pada Julai dengan penjanaan nilai jualan sebanyak RM108.7 bilion dengan pertumbuhan 5.6% berbanding bulan sebelumnya.
Pertumbuhan jualan yang lebih baik bagi subsektor tersebut disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor berikutan strategi yang efektif daripada kerajaan yang membuat pelepasan cukai.
"Dari segi perdagangan barangan Malaysia bagi Julai 2020 telah mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan sebanyak RM159.9 bilion berbanding RM144.7 bilion pada bulan sebelumnya.
"Jumlah itu menyaksikan peningkatan eksport sebanyak 11.7% sementara import meningkat 8.7%.
"Berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, eksport meningkat 3.1% sementara import terus menyusut pada bulan Julai 2020. Pada Ogos, eksport dan import mencatatkan penyusutan di samping imbangan perdagangan kekal merekodkan lebihan dagangan. - DagangNews.com