Ekonomi negara rugi RM1 bilion sehari ketika ini - PM | DagangNews Skip to main content

Ekonomi negara rugi RM1 bilion sehari ketika ini - PM

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh sejak 1 Jun lalu menyaksikan negara mengalami kerugian ekonomi sebanyak RM1 bilion sehari. 

 

Pada 28 Mei lalu, kerajaan memutuskan melaksanakan PKP menyeluruh di seluruh negara selama dua minggu sebelum dilanjutkan lagi hingga 28 Jun 2021.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan melaksanakan PKP ini bukanlah sesuatu yang mudah.

 

Namun, katanya, bagi meringankan beban kewangan rakyat, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion ringgit. 

 

"Saya berharap bantuan daripada kerajaan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan yang terkesan.

 

"Tetapi, kita tidak boleh berterusan begini. Demi kesihatan dan kelangsungan hidup kita semua, kita perlu segera keluar daripada krisis ini," katanya dalam perutusan khas petang ini mengumumkan Pelan Pemulihan Negara.

 

PKP secara menyeluruh untuk Fasa Pertama ini dilaksanakan setelah mengambil kira penularan kes COVID-19 dalam komuniti, kewujudan varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi yang mengancam keupayaan sistem kesihatan awam negara.

 

Selain itu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) masih dalam peringkat awal pelaksanaannya di samping bekalan vaksin yang dijangka akan lebih stabil mulai Jun ini.

 

Muhyiddin berkata, keputusan melaksanakan PKP secara menyeluruh ini telah berjaya mengelakkan berlakunya peningkatan kes-kes baharu secara lebih mendadak.

 

"Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat unjuran sekiranya PKP tidak dilaksanakan, kes harian COVID-19 di negara kita mencecah lebih 13,000 kes pada hari ini dan seluruh sistem kesihatan kita akan runtuh.

 

"Namun, Alhamdullilah, dengan pelaksanaa dengan pelaksanaan PKP Fasa Pertama ini kita dapat menyaksikan graf jangkitan kes COVID-19 telah mula menunjukkan trend melandai dengan mencatatkan 4,949 kes semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei 2021, iaitu kes harian tertinggi yang dicatatkan di negara kita," katanya.

 

Beliau berkata, sistem kesihatan negara juga masih mampu menampung kes-kes baharu di samping mencatatkan jumlah pesakit sembuh yang tinggi.

 

"Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil. We have avoided a catastrophe," jelas beliau. - DagangNews.com