[EKSKLUSIF] Bakat digital satu kewajipan | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Bakat digital satu kewajipan

Bakat digital

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Dunia pendigitalan bukan hanya konsep semata-mata, malah telah melalui fasa transformasi yang begitu pantas sejak tahun lalu.

 

Penularan wabak COVID-19 memaksa industri mempercepatkan transformasi digital di samping melakukan peningkatan dan latihan semula kemahiran untuk kekal relevan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Adam Yee berkata, sebahagian kerja yang bersifat rutin (secara fizikal atau kognitif) berkemungkinan akan digantikan oleh mesin, robot dan sistem automasi.

 

Ujarnya, model-model perniagaan yang menerima penggunaan anjakan paradigma disruptif telah memulakan transformasi digital, bukan sahaja akan mula mengaut keuntungan, tetapi untuk menyediakan asas kepada model perniagaan baharu, penyertaan baharu dalam pasaran, dan pekerjaan baharu yang akan menyusul.

 

"Dalam erti kata lain, transformasi digital tidak akan menghapuskan peluang-peluang pekerjaan sebaliknya mencipta lebih banyak peluang yang sama. 

 

"Justeru, bakat-bakat dalam kemahiran digital kelak bukan lagi satu elemen tambahan semata-mata tetapi ia merupakan satu perkara yang wajib," jelasnya dalam satu wawancara eksklusif bersama DagangNews.com baru-baru ini.

 

Adam Yee
Adam Yee

 

Siemens Malaysia Sdn. Bhd. (SMSB) ialah syarikat penyedia teknologi terkemuka dengan rangkaian produk dan penyelesaian yang menyeluruh untuk pelbagai pasaran ekonomi Malaysia menerusi perniagaan Infrastruktur Pintar dan Industri Digital.

 

Syarikat tersebut adalah pakar dalam bidang perkhidmatan infrastruktur pintar untuk bangunan dan sistem penjanaan teragih, perkhidmatan automasi serta digitalisasi untuk industri pembuatan dan pemprosesan.

 

Siemens Malaysia juga menawarkan penyelesaian mobiliti pintar untuk sistem pengangkutan kereta api dan jalan raya, selain daripada memenuhi keperluan dalam bidang teknologi perubatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan secara digital.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya turut memainkan peranan untuk meningkatkan kemahiran bakat-bakat syarikatnya di Malaysia bagi memastikan tenaga buruh yang kekal relevan. 

 

Baca: [EKSKLUSIF] 7 transformasi digital perlu diberi perhatian

 

"Kami melaksanakan program-program peningkatan kemahiran, latihan semula kemahiran, dan mempelbagaikan kemahiran tenaga kerja Malaysia, bagi menyediakan mereka secara kritikal untuk menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat.

 

"Oleh kerana Malaysia perlu mencipta satu ekosistem dinamik untuk ekonomi digitalnya yang mengalu-alukan perubahan kepada infrastruktur, aspek perundangan, kemahiran-kemahiran dan kewangan sektor awam, kami berhasrat untuk menjadi syarikat yang menerajui Revolusi Industri 4.0 dan membantu Malaysia memulakan kembara pendigitalan ini.

 

"Kami sentiasa mencari cara untuk kekal seiring dengan teknologi semasa dan lebih-lebih lagi sekarang, memainkan peranan dalam merapatkan jurang dalam aplikasi pengetahuan dan pemindahan kemahiran bakat-bakat graduan untuk kekal relevan merentasi industri," katanya lagi. - DagangNews.com