Eksport minyak sawit Indonesia dijangka susut kepada 29.5 juta tan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Eksport minyak sawit Indonesia dijangka susut kepada 29.5 juta tan pada 2024

KUALA LUMPUR 6 Mac - Eksport minyak sawit Indonesia pada 2024 dijangka susut kepada 29.5 juta tan berbanding 30.25 juta tan pada tahun sebelumnya, kata Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI).

 

Sementara itu, pengeluaran minyak sawit di Indonesia dijangka meningkat sebanyak 2.26% kepada 54.4 juta tan dengan penggunaan domestik dilihat lebih tinggi berikutan permintaan untuk bahan mentah biodiesel, kata Pegawai GAPKI, Fadhil Hasan pada Persidangan & Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit & Laurik Tahunan ke-35 (POC2024), lapor Reuters.

 

Stok minyak sawit Indonesia pada akhir 2024 dianggarkan sebanyak 5.25 juta tan.

 

Fadhil berkata, terdapat kemungkinan kerajaan baharu akan meningkatkan mandat B35 (35% bahan api bio berasaskan minyak sawit dan 65% diesel) kepada B40 (40% bahan api bio berasaskan minyak sawit dan 60% diesel).

 

Katanya, perkara itu mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini.​
 

 

"Salah satu program calon yang mungkin akan dipilih ialah hasrat untuk menaikkan kepada B50, tetapi itu mungkin selepas 2025," katanya.

 

Tinjauan awal mengatakan bahawa Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto berkemungkian memenangi pilihan raya umum 14 Februari 2024. 

 

Jawatankuasa pilihan raya mempunyai masa sehingga 20 Mac 2024 untuk mengesahkan undian.

 

Fadhil berkata, kesan corak cuaca kering El Nino tahun lepas ternyata tidak memberi kesan ketara terhadap pengeluaran 2024, kerana ia kebankannya melibatkan kawasan di Jawa dan wilayah selatan Sumatera, yang bukan pusat pengeluaran minyak sawit negara itu. - DagangNews.com