Eksport produk agro dijangka terus mengukuh | DagangNews Skip to main content

Eksport produk agro dijangka terus mengukuh

 Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (tengah) menerima penghargaan replika durian emas daripada Ketua Pegawai Eksekutif Unicorn Four Season Durian Sdn. Bhd., Bong Tse See (kanan) dan Pengasas Unicorn Four Season Durian Hotel & Café, Tan Sri Lee Kim Yew (kiri).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (tengah) menerima penghargaan replika durian emas daripada Ketua Pegawai Eksekutif Unicorn Four Season Durian Sdn. Bhd., Bong Tse See (kanan) dan Pengasas Unicorn Four Season Durian Hotel & Café, Tan Sri Lee Kim Yew (kiri).


 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Industri eksport produk agro Malaysia dijangka akan terus mengukuh dan mendapat sambutan yang menggalakkan. 

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, perkara itu dinilai kepada prestasi eksport industri makanan yang terus berkembang meskipun berdepan dengan cabaran wabak COVID-19.

 

"Hampir kesemua industri terkesan disebabkan oleh COVID-19. Jadi kalau kita lihat dari segi data yang ada, industri pertanian merupakan satu-satunya industri yang boleh berkembang.

 

"Dan kalau kita lihat dalam tempoh suku pertama 2020, semua sektor mengalami pertumbuhan negatif, tetapi industri pertanian yang mencatatkan pertumbuhan positif iaitu pada kadar 1%.

 

"Itu merupakan satu hakikat yang menunjukkan sektor pertanian dan agro makanan ini merupakan satu industri yang mampu bertahan ketika pandemik ini dan saya jangkakan pertumbuhan yang menggalakkan dalam industri eksport produk agro Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas melancarkan Unicorn Four Season Durian Hotel & Café di ibu negara hari ini.

 

 Ronald Kiandee bersama pihak pengurusan Unicorn Four Season Durian Hotel & Café melihat produk hiliran yang turut disediakan kepada para tetamu yang hadir dan menginap di hotel berkenaan.
Ronald Kiandee bersama pihak pengurusan Unicorn Four Season Durian Hotel & Café melihat produk hiliran yang turut disediakan kepada para tetamu yang hadir dan menginap di hotel berkenaan.
 

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

 

Unicorn Four Season Durian Hotel & Café adalah sebuah hotel pertama yang membenarkan pengunjung atau tetamu menikmati buah durian di setiap sudut ruangan hotel hingga ke bilik tidur.

 

Ditanya berkaitan dengan aktiviti eksport durian ke China, beliau memberitahu, industri durian yang mempunyai masa hadapan yang cerah itu akan terus dieksport ke negara berkenaan.

 

"Kita maklum bahawa durian merupakan satu komoditi yang dieksport besar ke China. Tentu sekali durian akan terus dieksport ke China.

 

"Dengan ruang eksport durian secara besar-besaran ini menunjukkan bahawa industri durian merupakan satu industri yang mempunyai masa hadapan yang cerah di negara kita," tambah beliau lagi.

 

Pada tahun 2020, sekitar 70,356 hektar tanah digunakan untuk pertanian durian dan berjaya menghasilkan sekitar 405,536 metrik tan durian.

 

Bagi tahun 2030 pula,  Malaysia menjangkakan sekitar 443,000 metrik tan durian dapat dihasilkan. - DagangNews.com