Eksport semikonduktor Malaysia disasar mencecah RM1.2 trilion menjelang 2030 - MSIA | DagangNews Skip to main content

Eksport semikonduktor Malaysia disasar mencecah RM1.2 trilion menjelang 2030 - MSIA

KUALA LUMPUR 25 Julai - Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) menyasarkan eksport semikonduktor mencecah RM1.2 trilion menjelang tahun 2030.

 

Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata sasaran itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport keenam terbesar di dunia dan merupakan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) kira-kira 7.6% daripada nilai eksport semasa.

 

"Untuk mencapai pertumbuhan ini, Malaysia perlu fokus meningkatkan keupayaannya merentasi rantaian nilai semikonduktor, termasuk pembungkusan termaju, reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembuatan pintar," katanya pada Persidangan Tech in Asia 2024 di Kuala Lumpur, Rabu.

 

Beliau berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan industri tempatan untuk menangani cabaran sedia ada, khususnya kekurangan bakat.

 

“Dalam pembangunan bakat, kerajaan dan industri perlu bekerjasama untuk menarik, melatih dan mengekalkan lebih ramai bakat tempatan melalui inisiatif seperti biasiswa, program latihan merentas disiplin dan kerjasama dengan universiti.

 

"Kami mengunjurkan keperluan sebanyak 300,000 bakat untuk mencapai sasaran itu, dan 60,000 daripadanya akan menjadi bakat teknikal seperti saintis bahan dan ahli kimia serta jurutera," ujarnya.

 

Sementara itu, Wong berkata industri semikonduktor perlu menggunakan bakat dari negara lain untuk mengisi jurang kosong asas bakat negara.

 

"Kini kami mempunyai antara 10,000 hingga 20,000 bakat asing di Malaysia. 

 

"Kami juga boleh menawarkan pekerjaan kepada pelajar asing yang belajar di sini terutamanya dalam bidang sains dan kejuruteraan.

 

"Saya rasa hal ini masih dalam pertimbangan tetapi harapnya kita dapat mendengar beberapa berita positif," uljarnya.

 

Pada 2023, eksport industri semikonduktor Malaysia turun 3% iaitu RM575.45 bilion daripada rekod tahun 2022 sebanyak RM593 bilion.- DagangNews.com