Elak isu pengangguran belia dengan keusahawanan | DagangNews Skip to main content

Elak isu pengangguran belia dengan keusahawanan

Dennis Ling

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pendedahan dan penglibatan dalam bidang keusahawanan dilihat mampu mengelakkan isu pengangguran dalam kalangan belia di negara ini.

Pengarah Eksekutif syarikat pemaju bandar raya berlandaskan pendidikan, HCK Capitol Group Berhad, Dr. Dennis Ling berkata, pihaknya percaya bidang keusahawanan mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan dapat meningkatkan kemahiran golongan muda.

"Keusahawanan seharusnya menjadi teras dalam usaha membantu belia Malaysia menghadapi kesan langsung pandemik COVID-19.

"Usaha menggalakkan keusahawanan belia patut dimulakan sebelum mereka mendapat ijazah yang mungkin menjadi penyelesaian bagi isu pengangguran belia," katanya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis pelancaran 'Atelier+Lifestyle Office - Small Office (LoSo) Suites' di Edusphere, Cyberjaya hari ini.

'Atelier+Lifestyle Office - Small Office (LoSo) Suites'

Pelancaran suite LoSo dan kedai Atelier+ yang merupakan hab gaya hidup konsep baharu yang sesuai untuk usahawan muda, syarikat baharu dan perusahaan kreatif itu dilancarkan selepas mengambil kira faktor kejayaan sistem keusahawanan seperti kewujudan infrastruktur, prasarana dan perhubungan dalam masyarakat.

Jelas Ling, generasi muda turut memerlukan kepada persekitaran yang sesuai untuk mencapai kejayaan khususnya usahawan yang berada di peringkat permulaan.

"Selain menyediakan sumber kewangan, kita perlu mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk mereka mencapai kejayaan.

'Atelier+Lifestyle Office - Small Office (LoSo) Suites'

"Cyberjaya mempunyai ciri-ciri sesuai untuk menjadi pusat pembangunan usahawan terhangat dengan tumpuan infrastruktur perniagaan berteknologi tinggi, kumpulan bakat yang kian berkembang dan kedudukan yang berhampiran dengan bandar Kuala Lumpur," tambahnya.

Suite LoSo dan kedai Atelier+ bakal mengalu-alukan kedatangan komuniti usahawan dan pengusaha perniagaan baharu yang serba maju, dengan daya inspirasi dan kreativiti yang membezakannya daripada pusat keusahawanan lain. 

Harga bagi kedai seluas 1,045 hingga 2,055 kaki persegi bermula daripada RM810,000 dan suite Atelier+ LoSo yang berkeluasan 650 kaki persegi, dijual pada harga daripada RM400,000.

Unit-unit komersial yang dijangka siap menjelang 2023 itu bakal mencatatkan peningkatan modal purata sebanyak 4% hingga 5% setahun dengan potensi pertumbuhan tinggi Cyberjaya sebagai hab teknologi, penyelidikan dan juga pendidikan. - DagangNews.com