Engtex dijangka terima manfaat daripada pemulihan projek air, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Engtex dijangka terima manfaat daripada pemulihan projek air, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - Engtex Group Bhd dijangka menerima manfaat daripada pemulihan projek air disokong oleh kewangan lebih baik daripada operator air berikutan kenaikan tarif baru-baru ini serta harga produk keluli yang lebih baik.

 

Kenanga Research berkata, projek itu merangkumi pengurangan air bukan hasil (NRW) dan pembinaan atau menaik taraf loji rawatan air.

 

“Kenaikan tarif akan mengukuhkan kewangan pengendali air, membolehkan mereka menaik taraf dan menggantikan infrastruktur air lama.

 

"Kami menjangkakan peningkatan dalam pemberian projek penggantian paip dari separuh kedua 2024 apabila Pengurusan Aset Air Bhd memuktamadkan tender yang biasanya mengambil masa enam bulan untuk diputuskan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga dijangka menerima manfaat daripada harga produk keluli yang lebih kukuh kerana harga keluli di pasaran antarabangsa.

 

Katanya, operator air juga sedang mengenal pasti paip lama untuk digantikan dan mengusahakan kos untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) bagi mendapakan kelulusan.

 

"Persatuan Air Malaysia menyatakan pengendali air telah mengemukakan cadangan kepada MoF untuk projek air bernilai RM4 bilion, kerana tarif air dijangka dinaikkan dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana potensi besar dalam pasaran penggantian paip air di dalam negara disokong kedudukan pasarannya yang dominan dalam pasaran  paip keluli lembut (MS) berdiameter besar dan paip besi mulur (DI).

 

Selain itu ia juga disokong keterlihatan pendapatannya yang kukuh daripada pesanan tertunggak yang ketara dan projek saluran paip baharu yang kukuh

 

"Kami mengekalkan penarafan 'ouperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.41 sesaham. - DagangNews.com