EPIC Marine, Altus jalin kerjasama tambah baik perkhidmatan pelantar Pelabuhan Kemaman | DagangNews Skip to main content

EPIC Marine, Altus jalin kerjasama tambah baik perkhidmatan pelantar Pelabuhan Kemaman

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPIC Marine) yang merupakan anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Bhd) menjalinkan kerjasama dengan Altus Oil & Gas Malaysia Sdn Bhd (Altus) bagi menambah baik perkhidmatan pelantar di Pelabuhan Kemaman.

 

Jalinan kerjasama antara EPIC Marine dan Altus menyasarkan penerokaan peluang perniagaan dalam segmen pelantar termasuk perkhidmatan penempatan sementara, penyelenggaraan dan pembaikan pelantar, persiapan projek-projek seterusnya serta perkhidmatan berkaitan.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili berkata, ia merupakan satu lagi pencapaian penting dalam memenuhi permintaan perkhidmatan pelantar yang semakin meningkat di Pelabuhan Kemaman.

 

"Saya juga berharap, agar inisiatif ini dapat meningkatkan pertumbuhan keseluruhan syarikat dan kumpulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

epic
EPIC Marine dan Altus memeterai kerjasama strategik di Pelabuhan Kemaman, baru-baru ini. - Gambar/ ihsan Kumpulan EPIC

 

Majlis menandatangani kerjasama itu berlangsung di premis operasi EPIC di Teluk Kalong, baru-baru ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Altus, Mohamad Taufik Othman berkata, syarikat itu kekal komited untuk bekerjasama dengan EPIC Marine dalam pelbagai bidang bagi memajukan kedua-dua syarikat.

 

Menerusi kerjasama itu, , EPIC Marine, bersama syarikat-syarikat lain di bawah Kumpulan EPIC, berhasrat dapat terus menambah baik penawaran dan perkhidmatan di samping menyumbang secara positif kepada pembangunan sosioekonomi Terengganu. - DagangNews.com