EV ‘lubuk’ terbaik KESM - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

EV ‘lubuk’ terbaik KESM - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Trend jangka panjang ke arah pengelektrikan selain penggunaan sensor dalam kenderaan akan memacu permintaan yang tinggi terhadap industri semikonduktor automotif. 

 

Sehubungan itu, KESM Industries Berhad yang menyaksikan lebih 70% daripada hasil kewangan kumpulan dipacu oleh segmen semikonduktor berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan trend berkenaan. 

 

Menurut penganalisis di CGS-CIMB Research, Mohd Shanaz Noor Azam, firma penyelidikan IHS Markit juga menjangkakan hasil semokonduktor automotif akan berkembang sebanyak 18% tahun ke tahun bagi 2021.

 

Jelasnya, ini didorong oleh peningkatan purata nilai kandungan semikonduktor setiap kereta berikutan penjualan kenderaan elektrik (EV) yang lebih kukuh dan pemulihan permintaan automotif global. 

 

“Secara keseluruhannya, kami percaya pemulihan permintaan industri akan berlaku pantas seiring pemulihan ekonomi global pada tahun 2021,” jelas Mohd Shanaz dalam sebuah nota kajian. 

 

KESM mencatatkan lonjakan yang signifikan dalam keuntungan bersih utama kumpulan pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2Q21) kepada RM6.3 juta daripada RM764,000 pada suku sebelumnya. 

 

Prestasi itu terutamanya didorong oleh perolehan dalam pelupusan mesin dan peralatan ujian sebanyak RM3.1 juta selain perolehan nilai saksama bagi pelaburan sekuriti sebanyak RM2.8 juta. 

 

Dalam pengiraan Mohd Shanaz, KESM mungkin mencatatkan keuntungan bersih teras lebih rendah iaitu RM449,000 bagi suku tahun sama berbanding RM717,000 bagi suku sebelumnya, sekiranya tidak mengambil kira dua perolehan berkenaan.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih kumpulan syarikat itu bagi separuh pertama tahun kewangan 2021 (1H21) menyusut 76% tahun ke tahun kepada RM1.2 juta disebabkan oleh permintaan ‘burn-in’ dan perkhidmatan ujian yang lebih rendah.

 

Namun, Kenanga Research melihat KESM dalam landasan pemulihan dan akan menyaksikan sumbangan kewangan yang lebih besar bermula awal tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

Melihatkan hasil kewangan yang terus menokok, keuntungan bersih kumpulan syarikat itu dijangka bertambah baik dalam kadar yang pantas kerana tahap operasi kumpulan yang tinggi.

 

Senada Mohd Shanaz, Kenanga melihat tumpuan beberapa tahun akan datang, sebahagian besarnya ke arah EV, di mana firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan perkhidmatan ‘burn-in’ akan meningkat.

 

Jangkaan itu seiring dengan lonjakan kandungan semikonduktor dalam EV berbanding enjin pembakaran dalaman, tambah Kenanga.

 

“Kumpulan syarikat itu juga baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan melabur sebanyak RM10 juta bagi kilang berkeluasan 50 kaki persegi (sq) di Melaka untuk memenuhi jangkaan tempahan yang lebih tinggi daripada pelanggan automotifnya. 

 

“Keputusan untuk meletakkan kilang baharu di Melaka bertujuan mengurangkan masa dan kos logistik kerana beberapa pelanggannya berada di kawasan berkenaan.

 

“Secara keseluruhannya, permintaan makro bagi automotif masih lagi dalam landasan meningkat memandangkan jualan kenderaan China kekal kukuh sementara jualan kenderaan di Eropah mencatatkan angka yang memberangsangkan,” jelas Kenanga dalam nota kajian berbeza. 

 

Mohd Shanaz dan Kenanga masing-masing membuat penarafan ‘pegang’ dan ‘market perform’ ke atas saham KESM dengan harga sasaran (TP) masing-masing turut dinaikkan kepada RM13.30 dan RM14.20.

 

Setakat 11.43 pagi, nilai saham KESM menyusut 24 sen kepada RM13.10 daripada paras yang ditutup petang semalam, RM13.34. - DagangNews.com