Eversendai cadang lupus dua lot tanah bernilai RM63 juta di Sungai Buloh kepada Pelangi Tulus | DagangNews Skip to main content

Eversendai cadang lupus dua lot tanah bernilai RM63 juta di Sungai Buloh kepada Pelangi Tulus

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jan - Eversendai Corporation Berhad menerusi ECB Properties Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Pelangi Tulus Sdn. Bhd. bagi cadangan pelupusan dua lot tanah bernilai RM63 juta di Sungai Buloh. 

 

Cadangan pelupusan itu melibat tanah pegangan bebas di atas lot 67331 dan lot 67332.

 

"Hartanah tersebut telah kosong sejak 2013. Kedua-dua lot itu memiliki keluasan 4,088 meter persegi dan 4,056 meter persegi.

 

"Pelupusan yang dicadangkan itu adalah bagi membolehkan syarikat mengewangkan aset yang kurang digunakan dengan hasil akan digunakan untuk pembayaran pinjaman bank," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, harga jualan itu ditentukan berdasarkan harga terbaik yang ditawarkan oleh pembeli yang berminat dan telah dipersetujui selepas mengambil kira nilai buku bersih (NBV) hartanah pada 31 Disember 2022 sebanyak RM61.29 juta.

 

Lembaga pengarah kumpulan berpendapat bahawa pertimbangan pelupusan adalah wajar memandangkan hartanah tersebut telah kosong selama 10 tahun sejak Jun 2013.

 

"Tiada pengarah, atau pemegang saham utama syarikat dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam cadangan pelupusan itu," katanya. - DagangNews.com