FarmByte, Agrobank bekerjasama kukuhkan sektor agro-makanan menerusi penyediaan pembiayaan kepada petani  | DagangNews Skip to main content

FarmByte, Agrobank bekerjasama kukuhkan sektor agro-makanan menerusi penyediaan pembiayaan kepada petani 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank,Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin menyerahkan replika cek kepada Ketua Pegawai Eksekutif FarmByte,Syed Aiman Kifli Syed Jaafar di MAHA 2024.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - FarmByte jalin kerjasama strategik dengan Agrobank bagi mengukuhkan sektor agro-makanan negara dengan memerkasakan petani-petani kecil.

 

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan menyediakan sokongan pembiayaan kepada petani-petani kecil selain memberi akses kepada pasaran sekali gus memacu ke arah pertanian yang lestari dan menguntungkan.

 

Kerjasama itu dirasmikan semasa majlis Malaysia Agriculture, Holiculture and Agrotourism (MAHA 2024) di MAEPS Serdang serta ditandatangani oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif FarmByte, Syed Aiman Kifli Syed Jaafar. 

 

Pada masa yang sama, acara tersebut juga menyaksikan Agrobank memperuntukkan RM12 juta sebagai tanda sokongan kepada Program Pembiayaan Pertanian Ladang Kontrak FarmByte yang merangkumi perbelanjaan operasi ladang.

 

Program tersebut memfokuskan kepada tanaman-tanaman seperti terung panjang, terung mini, peria, cili sakata, cili kulai dan bendi di mana projek perintisnya akan dilancarkan di Johor sebelum dikembangkan ke seluruh negara.

 

Menurut satu kenyataan bersama, Farmbyte akan memanfaatkan teknologi canggih dalam meningkatkan amalan pertanian. 

 

"Melalui FarmByte, para petani akan mendapat akses kepada data masa nyata mengenai permintaan tanaman, trend bekalan, dan ramalan harga.

 

"Digabungkan denganpendekatan berasaskan data dan sokongan kewangan Agrobank, kerjasama itu dijangka akan meningkatkan hasil tuaian dan kestabilan pasaran untuk petani-petani kecil," ujarnya. 

 

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, kerjasama itu akan menawarkan sokongan kewangan dan jaminan pasaran untuk 50 petani dengan bantuan kewangan maksimum sehingga RM239,940 bagi setiap peserta. 

 

Syed Aiman Kifli juga menekankan kerjasamanya dengan Agrobank sejajar dengan visi syarikat dalam menyediakan sumber kewangan dan teknologi kepada petani. 

 

"Dengan sokongan Agrobank, kami bukan sahaja dapat menawarkan kepada petani bantuan kewangan tetapi juga alat dan pandangan yang mereka perlukan untuk berjaya dalam pasaran yang kompetitif," katanya. 

 

Sementara itu, perkongsian ini merupakan perjanjian offtake yang terjamin, di mana FarmByte komited untuk membeli semua hasil tuaian daripada petani yang menyertai program tersebut.- DagangNews.com