KUALA LUMPUR 13 Julai - Felda menjelaskan peneroka masih boleh menguruskan kebun sendiri selepas menandatangani perjanjian pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat.
Malah, agensi itu turut menyifatkan perjanjian berkenaan adalah bersifat adil kepada peneroka dan Felda.
Penjelasan Felda yang dimuat turun di laman Facebook ini secara tidak langsung menjawab dakwaan sesetengah pihak mengenai kekeliruan yang timbul berhubung perjanjian tersebut.
Ini secara tidak langsung menunjukkan Felda tidak mempunyai sebarang agenda dalam menghapuskan hutang peneroka.
Sebaliknya, langkah ini bertujuan untuk mengurangkan beban potongan hasil peneroka selain memperoleh hasil tinggi dalam kehidupan.
Berdasarkan kenyataan berkenaan, Felda dipetik berkata, peneroka dibenarkan menguruskan kebun sendiri dengan syarat menghantar hasilnya kepada Felda.
"Selain itu, mereka juga perlu membayar ansuran bulanan pinjaman sepenuhnya setiap bulan dan melaksanakan pengurusan kebun mengikut kaedah, piawaian, prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pertanian baik yang ditetapkan," katanya.
Menurut Felda, pihaknya bersetuju menghapuskan sebahagian hutang peneroka sehingga setakat 31 Disember 2019.
"Penghapusan ini adalah berdasarkan syarat peneroka menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda," jelasnya lagi.
Pada 7 Julai lalu, kerajaan secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelupusan itu akan dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat, terutama bagi generasi awal yang berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah itu dijayakan.
Beliau berkata, pelupusan sebahagian hutang peneroka itu akan memudah cara proses penjanaan semula atau 'restart' Felda, bagi mengembalikan kedudukannya sebagai sebuah syarikat perladangan terulung dunia.
Felda berkata, objektif utama inisiatif perjanjian pelarasan yang diumum sempena Hari Peneroka Felda 2021 adalah bagi menerapkan kebersamaan Felda dan peneroka melalui satu sistem pengurusan ladang yang lestari.
"Inisiatif ini secara langsung akan memberi manfaat kepada warga peneroka terutama dari segi pendapatan," jelasnya.- DagangNews.com