Feytech sasar dana RM114.6 juta daripada IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Feytech sasar dana RM114.6 juta daripada IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia

Connie Go (empat dari kiri) bersama pengurusan kanan Feytech pada majlis pelancaran prospektus d Petaling Jaya hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Mei - Pengeluar sarung dan tempat duduk kenderaan, Feytech Holdings Berhad  yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 Mei 2024 menyasarkan untuk mengumpul RM114.66 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Connie Go berkata, kumpulan itu berhasrat menggunakan hasil tersebut untuk mengembangkan perniagaan kumpulan termasuk digunakan bagi menempatkan semula semua operasi sedia ada di Petaling Jaya ke pejabat korporat baharu.

 

"Feytech Holdings memperuntukkan 10.1% daripada hasil untuk membiayai sebahagian daripada pemerolehan tanah di Lembah Klang dan 18.4% untuk pembinaan pejabat korporat baharu bersama kilang pembuatan dan gudang di lokasi tersebut.

 

"Di samping itu, 16.4% daripada hasil IPO akan digunakan untuk membina kilang pembuatan baharu, gudang, bangunan pejabat tambahan dan asrama kakitangan yang akan dibina di atas sebahagian tanah perindustrian kosong di pekan Sungai Karangan, Kulim, Kedah dengan jumlah anggaran keluasan binaan 84,000 kaki persegi," katanya.

 

Menurut beliau, Kumpulan Feytech juga akan menggunakan 2.6% daripada hasil IPO untuk membeli mesin baharu termasuk 75 mesin jahit dan mesin pemotong kulit automatik.

 

"Sebanyak 45.5% lagi akan digunakan untuk modal kerja am," jelasnya sempena pelancaran prospektus Kumpulan itu di sebuah hotel di Petaling Jaya.

 

Feytech Holdings dan anak syarikatnya adalah pengeluar sarung dan tempat duduk automotif yang berpangkalan di Malaysia.

 

feyt

 

ARTIKEL BERKAITAN: Feytech meterai taja jamin dengan TA Securities, AmInvest untuk terbitan IPO di Papan Utama Bursa Malaysia

 

Kumpulan Feytech terutamanya mengeluarkan sarung dan tempat duduk automotif untuk segmen pasaran pengeluar peralatan asal (OEM).

 

Pelanggan dalam segmen pasaran OEM terdiri daripada OEM kenderaan automotif seperti Mazda Malaysia (untuk model kereta Mazda 3, CX-5, CX-8 dan CX-30) dan Kia Malaysia (untuk model kereta Kia Carnival dan Sorento), serta Tier 1 tempat duduk automotif dan/atau pengeluar bahagian dalaman yang menyediakan OEM kenderaan automotif untuk jenama seperti OEM tempatan, Mazda dan Hyundai.

 

Selepas penyenaraian, permodalan pasaran Kumpulan itu akan menjadi kira-kira RM674.56 juta berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 843.2 juta saham dan harga IPO sebanyak 80 sen sesaham.

 

Daripada 143,324,800 Saham Terbitan Awam, 42,160,000 Saham Terbitan Awam akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian; sebanyak 25,296,000 Saham Terbitan Awam akan diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Feytech 70, manakala baki Feytech 75.

 

Saham Terbitan Awam akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

TA Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.

 

Keuntungan bersih kumpulan itu meningkat 59.01% kepada RM43.9 juta pada FY2023 daripada RM27.6 juta setahun sebelumnya apabila hasil melonjak 66.5% kepada RM211.2 juta daripada RM126.9 juta yang sebelumnya dipacu oleh jualan lebih tinggi dalam tempat duduk automotif, sarung tempat duduk dan dalaman penutup bahagian.- DagangNews.com