FGV minta tangguh hingga 16 Feb  | DagangNews Skip to main content

FGV minta tangguh hingga 16 Feb 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - FGV Holdings Bhd. memohon lanjutan sehingga 16 Februari 2021 bagi tawaran pengambilalihan saham yang tidak dimiliki Felda. 

 

Syarikat perladangan itu sepatutnya mengemukakan jawapan petang ini sebelum pukul 5 petang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maybank Investment Bank bagi pihak Felda berkata, bagaimanapun terma dan syarat-syarat dalam tawaran dokumen masih kekal tidak berubah. 

 

Setakat 5 petang Jumaat lalu, pegangan Felda dalam FGV telah meningkat kepada 69% atau 2.51 bilion saham.

 

Pada 8 Disember lalu, Felda mengumumkan untuk menawarkan ambil alih mandatori ke atas saham minoriti FGV dengan nilai RM1.30 sesaham. 

 

Bagaimanapun, agensi itu tidak berhasrat mengekalkan penyenaraian FGV di papan utama Bursa Malaysia. 

 

Menurut kenyataan FGV pada 22 Januari lalu, harga yang ditawarkan Felda kepada FGV dalam cadangan pengambilalihan pada RM1.30 sesaham disifatkan tidak adil dan berada di bawah nilai saksama oleh RHB Investment Bank (RHB IB). 

 

Bank itu dilantik oleh FGV sebagai penasihat bebas untuk tawaran berkenaan. 

 

Menurut FGV, RHB IB berpendapat bahawa tawaran itu ‘tidak adil tetapi wajar’ berdasarkan penilaiannya dan mengesyorkan pemegang saham untuk menerima tawaran tersebut.

 

Baca : Tawaran harga saham tidak dipersetujui FGV

 

Baca : Majoriti peneroka sokong usaha pemulihan Felda termasuk pengambilalihan FGV

 

Tawaran ini ‘tidak adil’ kerana harga tawaran lebih rendah dan mewakili potongan antara RM0.12 (8.5%) dan RM0.30 (18.8%) melebihi julat nilai per saham FGV yang diperoleh menggunakan kaedah penilaian bahagian antara RM1.42 dan RM1.60. 

 

Jumaat lalu, dalam kenyataan, Felda menyifatkan bantahan pengarah bebas FGV terhadap tawaran pengambilalihan sebagai 'janggal' kerana itulah pertama kali berlakunya situasi pengarah bebas sesebuah syarikat tidak sependapat dengan nasihat institusi kewangan yang dilantik sendiri oleh mereka. - DagangNews.com