Filipina sekat kemasukan dari Malaysia, Thailand bendung penularan varian Delta | DagangNews Skip to main content

Filipina sekat kemasukan dari Malaysia, Thailand bendung penularan varian Delta

FILIPINA menyekat kemasukan dari Malaysia dan Thailand bermula Ahad ini hingga penghujung Julai 2021. - Gambar Reuters / Lisa Marie David

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Negara jiran, Filipina bakal menyekat pengunjung atau pelancong dari Malaysia dan Thailand sebagai langkah untuk mengekang penularan COVID-19, varian Delta di negara itu.

 

Sekatan itu bermula Ahad ini sehingga penghujung Julai 2021, menurut jurucakap Presiden Filipina, Harry Roque yang dalam masa sama memberitahu bahawa sekatan pergerakan di kawasan Manila akan diperketatkan lagi.

 

“Langkah ini diambil untuk mengekang penularan luas dan penyebaran varian COVID-19 dalam komuniti di Filipina,” kata Roque dalam perutusan negara itu seperti dilaporkan Reuters

 

Filipina sebelum ini telah menyekat kemasukan dari lapan negara lain termasuk Indonesia dan India. 

 

Sebagai langkah untuk mengekang penyebaran varian Delta, Presidennya, Rodrigo Duterte mengumumkan penguatkuasaan lebih ketat ke atas wilayah ibu negara Filipina, yang menempatkan lebih daripada 13 juta rakyat serta empat wilayah lain sehingga penghujung Julai ini.

 

Di bawah penguatkuasaan itu, aktiviti sukan dalaman dan persidangan, pusat tarikan pelancongan dalaman dan gim tidak dibenarkan beroperasi sementara kapasiti operasi tempat makan dalam dan ruang luar telah dihadkan.

 

Dalam pada itu, kanak-kanak berusia antara lima hingga 17 tahun tidak dibenarkan keluar daripada rumah mereka.

 

Filipina menyaksikan 47 kes COVID-19 melibatkan varian Delta, dengan lapan daripadanya masih aktif dan tiga kematian dicatatkan.

 

Dengan lebih daripada 1.53 juta angka jangkitan dan hampir 27,000 kematian, Filipina mempunyai jumlah kes dan kematian COVID-19 tertinggi kedua di Asia Tenggara, selepas Indonesia. - DagangNews.com