Fitch kekalkan penarafan kredit Malaysia, unjur KDNK berkembang 4.5% | DagangNews Skip to main content

Fitch kekalkan penarafan kredit Malaysia, unjur KDNK berkembang 4.5%

 

 


KUALA LUMPUR 19 Julai - Fitch Ratings mengesahkan penarafan kemungkiran penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia pada BBB+, dengan tinjauan stabil.

 

Menurut agensi penarafan antarabangsa itu, ekonomi Malaysia secara beransur-ansur kembali pulih daripada penguncupan 5.6% tahun lalu akibat pandemik COVID-19 meskipun langkah-langkah penjarakan sosial semakin diperketat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

 

Ia juga menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang 4.5% tahun ini manakala 2.2% pada tahun depan. 

 

"Ini seiring dengan jurang pengeluaran yang mengecil sementara pemberian vaksin pula semakin bertambah. 

 

"Keadaan ini sepatutnya membolehkan sektor perkhidmatan mendapat keuntungan daripada peningkatan dalam permintaan,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Menurut Fitch, langkah-langkah penjarakan sosial yang dilaksana kerajaan turut disertai oleh bantuan lain termasuk pembayaran jaminan sosial, subsidi upah, pemberian geran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peruntukan untuk perolehan vaksin, jaminan pinjaman korporat dan moratorium pembayaran balik pinjaman.

 

"Hasil daripada perbelanjaan bantuan ini serta pengurangan pendapatan kerajaan, kami menjangkakan defisit fiskal akan meningkat kepada 6.5% daripada KDNK pada tahun ini berbanding 6.2% pada 2020," katanya.

 

Memandangkan pandemik telah menyebabkan kenaikan ketara dalam hutang kerajaan Malaysia, Fitch mengunjurkan hutang tersebut mencecah 78.1% daripada KDNK pada 2021 daripada paras sebelum pandemik 65.2% pada 2019.

 

Mengenai prospek fiskal jangka sederhana, Fitch berkata, ia masih kekal bergantung kepada ketidakstabilan politik yang meningkat.

 

"Kami menjangkakan penurunan secara beransur-ansur dalam defisit fiskal, yang diunjurkan pada purata 5.2% daripada KDNK dalam tempoh 2021 hingga 2023 (melepasi unjuran purata kerajaan 4.5%).

 

"Ia seiring dengan pertumbuhan yang akan melonjakkan pendapatan dan langkah-langkah perbelanjaan
berkaitan COVID-19 berakhir," katanya.

 

Sementara itu, Malaysia menyaksikan lebihan akaun semasa tahunan yang konsisten lebih daripada 2 dekad dan Fitch menjangkakan ia akan berterusan sedemikian dalam beberapa tahun akan datang walaupun lebihan itu cenderung untuk mengecil kepada 3.6% daripada KDNK pada 2022 berbanding 4.1% pada 2021 kerana pemampatan import mungkin akan beransur-ansur hilang.

 

Fitch berkata, dasar monetari mungkin kekal terus menyokong aktiviti ekonomi, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasarnya sebanyak 125 mata asas (bps) sejak bermulanya pandemik ini.

 

"Dalam pada itu, kami mengunjur BNM akan memulakan kitaran pengetatannya pada tahun 2022 dengan kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas,” tambahnya.

 

Dari segi moratorium pinjaman 6 bulan yang kedua dilaksanakan Malaysia ke atas semua pinjaman runcit dan PKS secara pilihan pada Julai, Fitch berpendapat ini akan menundakan pengiktirafan pinjaman tidak berbayar (1.6% daripada jumlah pinjaman pada Mei) sehingga 2022.

 

"Ini juga akan membolehkan bank untuk melaporkan pendapatan dan permodalan yang meningkat dengan baik pada 2021 di tengah-tengah jangkaan pertumbuhan pinjaman pada sekitar 4%.

 

"Bagaimanapun, ia akan mengambil masa untuk kos kredit dan keuntungan bank untuk kembali nomal sepenuhnya,” katanya. - DagangNews.com