Fitch Ratings neutral terhadap prospek sektor automotif global pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Fitch Ratings neutral terhadap prospek sektor automotif global pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor automotif global pada 2024 didorong keadaan rantaian bekalan menjadi lebih baik.

 

Agensi penarafan itu berkata, dengan keadaan bekalan lebih baik, ia membolehkan pengeluaran kenderaan global yang lebih tinggi tetapi jualan keseluruhan akan terjejas oleh keadaan ekonomi yang kurang teguh, terutamanya di Amerika Syarikat (AS) dan China.

 

Mereka menjangkakan jualan dan pengeluaran global meningkat kira-kira 4% pada tahun hadapan.

 

Fitch meramalkan pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah dan kadar faedah yang lebih tinggi akan menjejaskan permintaan kenderaan secara keseluruhan pada 2024.

 

"Bagaimanapun, permintaan tertunda yang tinggi disebabkan oleh industri pengeluaran sejak beberapa tahun yang lalu berkemungkinan menyokong jualan dan harga serta campuran kenderaan yang lebih normal akan mengembalikan beberapa pelanggan yang berharga keluar dari pasaran.

 

"Pengeluaran kenderaan berada pada tahap yang lebih baik dan kami tidak menjangkakan penurunan jualan pada 2024, tetapi jualan berkemungkinan kekal di bawah paras pra pandemik," katanya.

 

Fitch berkata, kebanyakan pengeluar dalam sektor automotif global mempunyai prospek penarafan yang stabil, dengan kunci kira-kira yang kukuh dan fleksibiliti kewangan yang mencukupi untuk mengurus melalui senario tekanan sederhana dengan penarafan yang utuh.

 

Melainkan berlaku sebarnag kejutan luar biasa dalam persekitaran makro atau isu khusus syarikat yang tidak dijangka, Fitch menjangkakan hanya pergerakan penarafan terhad pada 2024.

 

Tindakan penarafan terhad kepada pengeluar yang pada masa ini mempunyai pandangan positif atau negatif.- DagangNews.com