KUALA LUMPUR 20 Jan - Fitch Solutions mengekalkan unjuran kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan kepada 3.25% dalam beberapa bulan akan datang meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengejut mengekalkan kada semasa 2.75% semalam.
Firma itu berkata, walaupun inflasi teras kekal pada aliran menaik namun inflasi utama dijangka kekal di atas sasaran bank pusat sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama tahun ini, terutamanya dengan kadar faedah sebenar yang negatif.
"Kami percaya bahawa inflasi melebihi sasaran dan kadar faedah negatif akan mendorong bank pusat itu mengetatkan lagi dasar mereka bagi menjaga kestabilan makroekonomi," kata firma itu dalam satu kenyataan.
Fitch Solutions menjangkakan inflasi menjadi sederhana kepada purata 2.9% pada 2023 (turun daripada 3.1% sebelumnya) berbanding purata 3.3% dari Januari hingga November 2022.
Bagaimanapun, tekanan harga berkemungkinan kekal lebih tinggi daripada purata 2016-2021 sebanyak 1.5% dan sasaran BNM sebanyak 2.2% hingga 3.2% julat ramalan separuh pertama 2023.
Firma itu berkata, walaupun subsidi bahan api dan kawalan harga telah membantu mengurnagkan inflasi utama pengguna Malaysia, namun inflasi teras, yang berada pada aliran menaik sejak lewat 2021, meningkat daripada 4.1% pada Oktober kepada paras tertinggi enam tahun sebanyak 4.2% pada November 2022.
Katanya, walaupun pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan pada suku akan datang namun prospek pertumbuhan ekonomi jangka pendek yang stabil akan memberi ruang kepada BNM untuk menaikkan kadar faedah dan mengutamakan kestabilan makroekonomi.
Fitch Solutions menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar akan perlahan daripada 5.8% pada suku keempat 2022 (4QFY22) kepada 4.8% pada 1QFY23, tetapi masih tinggi daripada purata 4.6% yang dilihat pada 2018-2019.
Katanya, ringgit telah mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebanyak 2% sejak awal tahun dan kekuatan kadar pertukaran seterusnya boleh mendorong BNM untuk mengekalkan kadar faedah lebih lama.
Katanya, kelembapan ekonomi yang lebih ketara daripada jangkaan akan mendorong BNM untuk mengalihkan tumpuannya kepada menyokong pertumbuhan, manakala tekanan inflasi akan mengurangkan keperluan untuk kenaikan kadar selanjutnya. - DagangNews.com