Flexidynamic raih kontrak loji rawatan air bernilai RM12.4 juta di Kelantan | DagangNews Skip to main content

Flexidynamic raih kontrak loji rawatan air bernilai RM12.4 juta di Kelantan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - Flexidynamic Holdings Bhd baru-baru ini menerima surat anugerah bernilai RM12.4 juta daripada Usaha Pammek Sdn Bhd bagi membekal serta menyiapkan kerja-kerja pemasangan mekanikal dan elektrik di Loji Rawatan Air Bukit Chupak, Gua Musang, Kelantan.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, kontrak itu menggariskan keupayaan Flexidynamic yang mampu berkembang melangkaui fokus tradisional untuk bergerak ke dalam pembangunan infrastruktur kritikal di Malaysia.

 

Pengarah Urusan Flexidynamic, Tan Kong Leong berkata, pihaknya berbangga diberikan kontrak itu kerana ia bukan sahaja mempamerkan kekuatan kejuruteraan kumpulan itu tetapi juga sejajar demgam matlamat strategik dalam mempelbagaikan pertumbuhan. 

 

Katanya, projek itu menekankan komitmen pihaknya dalam menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan menyerlahkan kesediaan mereka bagi memanfaatkan peluang yang disediakan oleh industri sarung tangan yang semakin pulih. 

 

"Pasukan kami bersedia untuk menunjukkan keupayaan kami dalam usaha baharu ini, memastikan piawaian pelaksanaan tertinggi dan menyumbang kepada pembangunan mampan infrastruktur Malaysia," katanya.

 

Dakam perkembangan berkaitan, kumpulan itu mengalu-alukan The SEA Capital Holding Sdn. Bhd. sebagai pemegang saham besar, memegang 5.01% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Katanya, perkongsian baharu itu akan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran Flexidynamic dan mempercepatkan trajektori pertumbuhannya.

 

Pengarah Urusan The SEA Capital, Datuk Hooi Jia Hao berkata, pihaknya teruja untuk menjadi pemegang saham yang besar dalam Flexidynamic. 

 

Beliau berkata, pelaburan itu mencerminkan keyakinan mereka terhadap hala tuju strategik kumpulan dan potensinya untuk berkembang. 

 

"Kami percaya bahawa pendekatan inovatif Flexidynamic terhadap rumusan kejuruteraan, ditambah dengan kehadirannya dalam projek infrastruktur, meletakkan syarikat untuk mencatatkan pertumbuhan mampan," katanya. - DagangNews.com