Antara barangan keperluan penting seperti beras, minyak masak, gula, makanan dalam tin termasuk lampin pakai buang bayi yang diletakkan di rak Foodbank SIRIM di Ibu Pejabat, Shah Alam.
SHAH ALAM 24 Jun - Melihatkan ada kalangan rakan sekerja yang turut terkesan dengan tekanan ekonomi semasa, anggota kerja Kumpulan SIRIM mengambil inisiatif untuk mewujudkan “foodbank” atau gerobok makanan khas.
Inisiatif itu dibuat dalam tempoh singkat, dengan anggota kerja mengumpul barangan keperluan penting seperti beras, minyak masak, gula, makanan dalam tin termasuk lampin pakai buang bayi.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, anggota kerja SIRIM telah menunjukkan sikap prihatin kepada rakan sekerja yang kurang bernasib baik terutama yang menghadapi masalah kewangan kerana pelbagai sebab antaranya pasangan hilang punca pendapatan kerana diberhentikan kerja.
“Kami sedar ada anggota kerja yang terkesan dengan keadaan ekonomi sekarang dan mungkin ada yang tidak mahu bersuara kerana sebab tertentu. Oleh itu, kami harap sumbangan sesama anggota kerja ini dapat membantu meringankan sedikit beban,” katanya
.
Katanya, anggota kerja hanya perlu mengambil barangan yang disumbangkan tanpa sebarang pendaftaran ataupun soalan yang akan ditanya.
“Pihak pengurusan amat terharu dan berbangga dengan semangat setiakawan anggota kerja SIRIM yang sanggup membantu rakan mereka yang berada dalam kesusahan. Program ini akan diteruskan selagi ada sumbangan yang diterima," ujar Dr Ahmad Sabirin.
Menurutnya, kejayaan mengumpul sumbangan dalam tempoh yang singkat ini juga selaras dengan satu daripada teras budaya kerja SIRIM (SIRIM Cultural Beliefs) iaitu “Act Fast” atau Bertindak Pantas.
Pengumpulan barangan keperluan harian dibuat sejak Jumaat, 18 Jun dan sehingga ini, sumbangan barangan terus diterima di beberapa pusat pengumpulan di SIRIM Shah Alam, serta di pejabat SIRIM di Rasa, Selangor; Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia di Sepang dan juga di SIRIM Bukit Jalil.
Selain itu, pengumpulan juga dibuat di Klang, bagi membolehkan anggota kerja yang tinggal di kawasan berkenaan mendapatkan barangan sumbangan.
Penyerahan dan pengagihan barangan sumbangan dibuat dengan mematuhi SOP yang ditetapkan di sepanjang tempoh lockdown berikutan pandemik COVID-19. - DagangNews.com