foodpanda tawarkan insurans percuma hingga RM100,000 kepada ‘rider’ | DagangNews Skip to main content

foodpanda tawarkan insurans percuma hingga RM100,000 kepada ‘rider’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Menerusi kerjasama dengan PolicyStreet, foodpanda Malaysia mengumumkan skim insurans baharu yang memberikan perlindungan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kepada rakan penghantarnya secara percuma dan automatik.

 

Tuntutan sehingga RM100,000 boleh dibuat sekiranya berlaku kematian atau kehilangan upaya kekal dan sehingga RM2,500 bagi sebarang kos perubatan serta hospital sebanyak RM40 sehari maksimum selama 30 hari, menurut foodpanda.

 

Pengarah Urusan foodpanda, Sayantan Das percaya kesemua penghantar adalah tulang belakang syarikat dan mereka berhak mendapat perlindungan terbaik.

 

“Foodpanda selalu mencari cara dan peluang baharu bagi memastikan kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan kesemua penghantar dijaga dengan baik.

 

Sayantan Das
Sayantan Das

 

“Penghantar-penghantar kami sentiasa berhadapan dengan keadaan cuaca dan jalan raya yang tidak dapat dijangkakan, oleh itu kami ingin mengingatkan mereka bahawa mereka adalah keutamaan kami dan kami komited untuk menyediakan mereka skim insurans terbaik agar mereka dapat bekerja dalam keadaan yang tenang.

 

"Kami bersyukur dapat bekerjasama dengan PolicyStreet dan kami yakin proses dan prosedur yang boleh dipercayai sekiranya berlaku masalah ketika tuntutan dibuat. Kami bersama-sama memastikan keselamatan dan  perjalanan yang selamat untuk semua,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Kaedah bayar dahulu dan tuntut kemudian itu dijangka memberi perlindungan kepada rakan penghantar sepanjang tempoh waktu bekerja mereka dan ini dinaik taraf daripada pelan perlindungan insurans sebelumnya, tambah foodpanda.

 

Selain itu, penghantar foodpanda juga layak mendapat skim insurans khas untuk COVID-19.

 

Tuntutan sehingga RM300 boleh dibuat bagi mereka yang perlu menjalani kuarantin dan hingga RM5,000 sekiranya berlaku kematian mengejut.

 

Mengulas mengenai pelan insurans berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif PolicyStreet, Yen Ming berkata, pihaknya berusaha untuk terus berinovasi dan mengatur polisi insurans yang memberikan perlindungan terbaik untuk foodpanda dan kesemua penghantarnya.

 

Bagi memastikan proses tuntutan berjalan lancar, penghantar dinasihatkan memiliki semua dokumen yang berkaitan termasuk rekod perubatan dan resit rasmi serta laporan polis dan salinan kad pengenalan penghantar bagi tujuan pengenalan diri.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai skim insurans baharu ini atau prosedur tuntutan, sila kunjungi laman sesawang https://www.pandariders.my/skema-insurans-foodpanda. - DagangNews.com